Adik lelaki MB Perak meninggal dunia pada usia 49 tahun
Astro Awani
Mac 4, 2024 00:27 MYT
Mac 4, 2024 00:27 MYT
KUALA LUMPUR: Adik lelaki Menteri Besar Perak, Ahmad Rozimi Mohamad meninggal dunia, kira-kira pukul 10 pagi Isnin, di Hospital Taiping.
Berita duka itu dikongsi Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu hantaran di Facebooknya.
"Dukacita dimaklumkan adinda saya, Ahmad Rozimi Mohamad telah kembali ke Rahmatullah jam 10 pagi tadi di Hospital Taiping.
"Pohon doa daripada semua supaya diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di syurga Allah SWT," katanya dalam hantaran itu.
Menurut Saarani, jenazah Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 49 tahun itu disembahyangkan di Masjid Al Hamidiah Kampung Raban dan dikebumikan di Kampung Raban, Lenggong petang Isnin.
"Mengiringi perjalanan terakhir adinda saya yang amat saya kasihi. Terima kasih kepada yang sudi datang dari jauh dan dekat memberi penghormatan. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan," katanya.