Adik Emilia dakwa hantar surat kepada Istana Negara
Hasimi Muhamad
Jun 27, 2022 12:28 MYT
Jun 27, 2022 12:28 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi mencari keadilan terhadap Emilia Hanafi, adiknya, Ezhan Hanafi mendakwa telah menghantar surat kepada Istana Negara bagi mempertimbangkan hukuman yang dihadapi kakaknya atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Ezhan, 42, berkata, surat tersebut dikemukakan sendiri olehnya tiga bulan lalu.
“Saya hantar secara peribadi kepada Istana Negara. Saya tak tahu (surat tersebut) diterima atau tak.
“Saya hantar tiga bulan lalu untuk meringankan hukuman (yang dihadapi Emilia),” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ezhan yang tidak dapat menahan sebak menyifatkan kes dihadapi Emilia adalah kes pertama di negara ini yang melalui prosiding di tiga mahkamah iaitu Mahkamah Jenayah, Mahkamah Sivil serta Mahkamah Syariah.
Dakwanya lagi, kes tersebut bukan lagi melibatkan ‘kes keluarga’, sebaliknya adalah ‘kes negara’.
“Insya-Allah kebenaran akan terbongkar. Setakat ini, saya hanya mahu tahu kakak saya dalam keadaan okey dan saya akan melakukan apa sahaja untuk keadilannya,” tambahnya lagi.
Ditanya mengenai keadaan tiga anak Emilia, Ezhan berkata, semuanya berada dalam keadaan baik.
Emilia yang merupakan bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini selepas Emilia, 43, hadir di Mahkamah Syariah dan menyerah diri.