Adik direman bantu siasatan kes abang mati rentung

Adie Sufian Zulkefli
Januari 1, 2021 16:45 MYT
Suspek berusia 34 tahun yang bekerja sendiri ditahan di rumahnya dekat sini, malam tadi. - Gambar/ Astro AWANI
KANGAR: Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh abangnya yang ditemui rentung dalam kebakaran dua rumah berkembar di Kampung Chantek Bangun, Simpang Empat, di sini, 27 Disember lalu.
Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, suspek berusia 34 tahun yang bekerja sendiri ditahan di rumahnya dekat sini, malam tadi.
"Suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan bagi membantu siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi pada 27 Disember lalu, Romizan Ramli, 42, maut dipercayai selepas terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar.
Kebakaran yang turut memusnahkan rumah jiran bersebelahan itu dipercayai bermula dari sebuah bilik sebelum merebak ke bilik mangsa yang ketika itu sedang tidur.
Mangsa dipercayai maut akibat lemas selepas gagal keluar untuk menyelamatkan diri sebelum mayatnya ditemui oleh anggota bomba dalam keadaan rentung.
#kebakaran #maut #rentung #abang #adik ditahan #bunuh #Kangar #Kampung Chantek Bangun #simpang empat #ketua polis kangar #Wari Kiew
;