Adik didakwa kerana bunuh abang

Adie Sufian Zulkefli
Januari 11, 2023 13:12 MYT
Tertuduh Ali Ashtar yang juga warga Pakistan didakwa melakukan perbuatan menyebabkan kematian abangnya, Mukhtiar Ali dalam kejadian di Taman Desa Meranti, Sungai Petani, pada 31 Disember lalu. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dihadap ke Mahkamah Seksyen Sungai Petani, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian di Taman Desa Meranti, di sini, pada 31 Disember lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Ali Ashtar, 24, yang juga warga Pakistan didakwa melakukan perbuatan menyebabkan kematian abangnya, Mukhtiar Ali, 39, dengan niat hendak menyebabkan kematian pada jam 10.30 malam bertempat di sebuah rumah di taman perumahan terbabit.
Tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili peguam SP Raman.
Hakim Azman Abu Hassan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Februari 2023 bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.
Dalam kejadian sebelum ini, seorang lelaki maut ditikam apabila dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asalnya di Pakistan.
Mangsa dipercayai bertindak menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang menyebabkan tercetus pergaduhan.
Ekoran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.
Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam.
#adik didakwa #bunuh abang #Mahkamah Seksyen Sungai Petani #kematian abang
;