Adibah Noor tak pernah mengadu tentang diri, sentiasa 'okay' - Hans Isaac

Hasimi Muhamad
Jun 19, 2022 10:52 MYT
Suki Low dan Hans Isaac ketika ditemui pemberita di Masjid Al Ansar di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi dan pelakon serba boleh, Allahyarham Adibah Noor, 51 tahun, nyata mengejutkan rakan-rakan selebriti.
Menurut pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Hans Isaac, penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu tidak pernah berkongsi mengenai keadaan kesihatan dirinya.
Malah, ujar Hans atau pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac, Adibah begitu jarang bercakap mengenai perihal dirinya.
“Tiada berkongsi (tentang sakit). Selalu yang dia sebut ialah kebaikan orang lain dalam industri. Dia selalu berjuang untuk orang lain atau hak dalam industri seni.
"Dia tidak pernah mengadu fasal diri sendiri. Itu yang saya tahu. Dan apabila saya hubungi dia untuk apa-apa projek, dia akan ‘okay’.
"Selagi ada kelapangan, Adibah Noor okay saja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al Ansar di sini,hari ini, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Adibah Noor.
Tambah Hans, Allahyarham juga tidak pernah berkira soal bayaran apabila dijemput untuk menjayakan apa-apa projek.
Sebaliknya, anak ketiga daripada empat beradik itu seorang yang sangat positif dan menyokong rakan-rakan selebriti lain.
“Kedua, dia tak pernah cakap fasal mas kahwin (soal bayaran), (sebaliknya dia kata) 'kita buat saja lah Hans'. Dia tak berkira langsung," tambah pengarah Filem Cuci itu.
“Saya terkejut semalam, saya di panggung wayang. Apabila saya dapat berita ini, terus tiada mood, saya keluar daripada wayang. Saya tak boleh fokus,” ujarnya lagi.
Sementara itu, rakan seperjuangan Allahyarham dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Suki Low turut tidak dapat menahan sebak mengenang memori bersama Adibah Noor.
“Kakak (Adibah Noor) seorang yang sangat membantu. Dia nampak macam tegas tetapi hatinya sangat-sangat lembut.
“Dia selalu beri sokongan kepada Suki dalam pertandingan. Dia pernah kata, tak kira apa juri kata, anda buat yang terbaik.
“Saya tidak pernah sangka dia akan pergi (secepat ini) kerana masa raya, kita masih buat projek dan sepatutnya dia yang cadangkan buat projek,” ujar Suki.
Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.
#Adibah Noor #rakan artis #kebumi #kesihatan
;