Adib tidak lagi bergantung pada mesin sokongan jantung - KP Bomba

Bernama
Disember 2, 2018 06:00 MYT
Doktor yang merawat Muhammad Adib memaklumkan bahawa jantungnya sudah berfungsi dengan sendiri. - Bernama
Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, kini tidak lagi bergantung kepada mesin sokongan jantung.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, bagaimanapun mesin sokongan masih terus digunakan pada bahagian paru-parunya.
"Doktor yang merawat beliau (Muhammad Adib) memaklumkan pada saya bahawa jantungnya sudah berfungsi dengan sendiri.
"Dan pihak Institut Jantung Negara (IJN) telah menanggal mesin sokongan di bahagian jantung itu pada pukul 11 pagi Ahad. Namun keadaannya masih lagi dikategorikan sebagai kritikal namun stabil," katanya ketika ditemui pemberita pada Perlawanan Amal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Road Malaysia Celebrity (RMC) di sini, pada Ahad.
Perlawanan bola sepak itu sebagai tanda solidariti bagi Muhammad Adib dan dalam masa yang sama untuk mengumpul dana bagi membantu keluarga enam anggota bomba yang lemas bulan lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan kes di kuil berkenaan, Mohamad Hamdan berkata polis telah mengambil keterangan lapan anggota bomba di lokasi kejadian di IJN pada Jumaat lepas.
"Kita serahkan siasatan penuh kes ini kepada polis dan bomba tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kita tidak mahu menggangu siasatan ini.
Dalam kejadian awal pagi Selasa lepas, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Muhammad Adib memang diserang dan bukan dilanggar jentera bomba yang sedang mengundur semasa insiden rusuhan di kuil itu pada awal Selasa. -- Bernama
#anggota bomba #kuil sri maha mariamman #Muhammad Adib #Muhammad Hamdan Wahid #rusuhan kuil
;