Adib, kanak-kanak barah mata bakal jalani rawatan khas di HKL

Astro Awani
Februari 1, 2015 13:58 MYT
Jaswan berharap agar sebelah lagi mata anaknya, Adib, dapat diselamatkan dengan menjalani rawatan di HKL. - Gambar fail
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang harus dihadapi oleh seorang bapa Jaswan Mulop.
Jaswan harus kuat bagi terus menyokong dan mencari rawatan terbaik untuk anaknya, Muhammad Adib Azim Jaswan, 4, yang menghidap barah mata.
Dua tahun lalu, mata kanan Adib terpaksa dibuang kerana status barah yang sampai ke tahap D. Kini, nasib satu lagi penglihatannya bergantung kepada usaha dan kepakaran bidang perubatan negara.
Pakar Optalmologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Jamalia Rahmat yang ditemu bual dalam Agenda Awani berkata, segala keperluan bagi merawat situasi barah seperti Adib kini sudah ditawarkan dalam negara.
"Rawatan khas ini ditumpukan terus kepada mata. Salur darah mata ini halus dan ia memerlukan kepakaran yang tinggi. Disebabkan kita pun ada pakar optalmologi di HKL ini, maka kita boleh bawa rawatan ini ke Malaysia,” kata Dr. Jamalia.
Sementara itu, Jaswan berkata, segala persediaan dan rujukan telah dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepakaran serta pemahaman dalam penyakit itu dan ia diharap dapat menyelamatkan penglihatan anaknya.
"Jadi, besar harapan saya sebenarnya sebab berdasarkan kadar kejayan dan pengalaman teknologi di sana,” ujar Jaswan.
Jaswan pernah menyuarakan kebimbangan, bukan sahaja mengenai keadaan kesihatan anaknya malah tentang kos tinggi yang ditanggung untuk sesi rawatan dan perubatan. Jaswan merupakan seorang kakitangan kerajaan manakala isterinya pula surirumah sepenuh masa.
Rawatan khas seperti yang dirancang untuk dijalankan ke atas Adib sebelum ini tidak dimiliki oleh negara dan lazimnya pesakit perlu ke Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan perubatan.
Adib kerap menjalani sesi kimoterapi disebabkan penyakitnya itu. Ia bukan suatu yang mudah, lebih-lebih lagi kerana faktor usianya yang masih kanak-kanak.
Mengenai kes Adib, Biro Aduan Komuniti sudah membincangkan mengenai perkara tersebut dengan doktor pakar di HKL.
#adib jaswan #barah mata #HKL #jamalia rahmat #kanser #rawatan
;