Adenan suara rakyat Bumi Kenyalang - Dr Jeniri

Malissa Sahari
Ogos 12, 2015 08:42 MYT
Adenan (gambar) berada di papan atas populariti catat sokongan 74 peratus pilihan kepada rakyat Sarawak. -Gambar fail
Kelantangan suara dan gaya santai menjadi identiti kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem untuk memikat hati rakyat Bumi Kenyalang.
Penganalisis politik Dr Jeniri Amir berkata, Adenan kini menjadi pilihan rakyat dari segi populariti melalui usaha yang digerakkannya sejak bergelar Ketua Menteri Sarawak tahun lalu.
"Adenan berada di papan atas populariti catat sokongan 74 peratus pilihan kepada rakyat Sarawak. Rakyat turut mengakui selesa dan berpuas hati dengan beliau.
"Adenan juga memahami sentimen dan aspirasi rakyat Sarawak dengan menterjemahkannya dalam bentuk data dan pelbagai reformasi yang dikehendaki rakyat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Selasa.
Adenan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februari tahun lalu, dan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan berkenaan selama 33 tahun.
Sebelum itu, Adenan merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak yang pernah memegang beberapa portfolio di Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam tempoh dua dekad.
Jelas Jeniri lagi, lebih 10 tindakan dan pembaharuan yang diperkenalkan Adenan sebelum ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
"Tindakan dan pembaharuan tersebut meninggalkan kesan positif, antaranya usaha menghentikan pembalakan haram, menggurangkan tarif elektrik, menghapuskan tol di dua jambatan iaitu Tol Lanang dan Jambatan Asean di Miri selain tindakan tegas menghalang pendatang haram serta usaha mewujudkan tadbir urus yang baik," ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Jeniri, tumpuan Adenan ketika ini lebih terarah kepada tuntutan autonomi untuk Sarawak serta kecekalan beliau menuntut supaya royalti minyak dinaikkan dari lima sehingga 20 peratus.
"Namun, persoalan itu masih menjadi tanda tanya di kalangan pemerhati politik. Adakah usaha itu bakal atau mampu diterjemahkan dalam bentuk undi? Sama ada pengundi Cina akan kembali kepada parti Barisan Nasional ekoran pelbagai isu yang semakin menjadi-jadi.
"Antaranya isu yang ditimbulkan termasuk kos sara hidup sesudah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta isu besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya.
Sementara itu, Jeniri memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat banyak memberi perhatian serius terhadap tuntutan untuk memberi lebih banyak kuasa pentadbiran kepada Sarawak dan Sabah.
"Najib membuktikan kata-katanya dengan memberi lebih banyak jawatan di Kerajaan Pusat kepada wakil-wakil daripada Sabah dan Sarawak.
'Kekerapan kunjungan Najib juga memberi bukti positif kepercayaan Perdana Menteri sendiri kepada pengundi di Sarawak selain sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut," jelasnya.
Najib sebelum ini memberitahu, pembinaan Lebuh raya Pan Borneo Sarawak bakal membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat kepada Sarawak sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi kehidupan rakyat di negeri itu.
Selain itu, Najib melahirkan keyakinan lebuh raya tersebut akan membuka pelbagai peluang pembangunan selain menambah baik aspek perhubungan antara bandar di negeri itu.
#Adenan Satem #Hapus tol #Jeniri Amir #pembalakan haram #populariti #Sarawak #Taib Mahmud
;