Adaptasi teknologi IR 4.0 bantu kurangkan kos operasi rawatan air di Melaka

Bernama
Oktober 14, 2022 13:39 MYT
Sulaiman berkata pembangunan pesat telah menyebabkan permintaan air bersih semakin meningkat. - Gambar fail
JASIN: Adaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 dalam pengoperasian loji rawatan air secara automasi sepenuhnya di seluruh Melaka mampu mengurangkan kos operasi seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air bersih kepada penduduk.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pembangunan pesat telah menyebabkan permintaan air bersih semakin meningkat dan pada masa yang sama kerajaan negeri giat meningkatkan pendapatan ekonomi negeri dengan menarik lebih ramai pelabur luar ke Melaka.
Beliau berkata antara usaha adaptasi teknologi tersebut adalah menerusi Pelan Perniagaan Kelima Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang bertemakan 'Towards Smart Water Management', antaranya dengan pemasangan meter pintar yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
"Adaptasi ini penting terutama apabila berlakunya pembukaan fasa baharu industri sedia ada seperti Infineon, Texas Instrument dan Xingyi yang dilihat sebagai perkembangan ekonomi positif di Melaka, sekali gus membuktikan industri besar ini yakin dengan kemampuan kerajaan Melaka dalam menyediakan keperluan asas yang baik.
"Justeru, sebagai 'Water Stress State' yang pembangunan pesat telah menyebabkan permintaan air bersih semakin meningkat, Melaka telah memulakan usaha meneroka sumber air mentah baharu melalui kerjasama antara SAMB dan Water Konsortium Sdn Bhd," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Kompak Chin Chin Jasin 3 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismali Sabri Yaakob di sini hari ini.
Sementara itu, Sulaiman berkata LRA Kompak Chin Chin Jasin 3 yang dibina menggunakan sistem kompak bernilai RM40 juta dengan kapasiti 30 juta liter sehari itu diharap dapat memberi manfaat kepada 26,000 pemilik akaun berdaftar SAMB di sekitar Jasin sejak mula beroperasi pada April lepas.
"Pembinaan loji ini dilihat sebagai satu daripada inisiatif SAMB bagi menstabilkan bekalan air bersih di negeri ini sementara menunggu projek pembinaan berskala besar yang lain siap seperti pembinaan LRA Merlimau Fasa 2 dan pembinaan LRA Jernih di Alor Gajah," katanya.
Menurut Sulaiman peruntukan tambahan diharap dapat diberikan kepada Kerajaan Melaka bagi menjalankan projek pemindahan air mentah dari Sungai Rembau ke Empangan Durian Tunggal kerana ia berpotensi mengoptimumkan pengepaman sumber air mentah di dalam Melaka.
Beliau berkata projek itu dilihat mampu membantu mengurangkan kos elektrik yang ditanggung SAMB kerana jarak pengepaman yang jauh dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal iaitu sejauh 70 kilometer.
Dalam pada itu, Sulaiman juga berharap kerajaan Persekutuan dapat menimbang semula permohonan untuk menukar nilai tiga aset air mentah yang diserahkan kepada kerajaan negeri iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan dengan nilai keseluruhan aset-aset itu sebanyak RM240 juta kepada geran supaya dapat mengurangkan tanggungan SAMB.
-- BERNAMA
#teknologi #revolusi industri #Sulaiman Md Ali #bekalan air bersih
;