ADAM50: Buat tabungan awal secara konsisten - Wahid Omar

Shahrul Hassan
Januari 19, 2018 14:57 MYT
WAHID: Kalau kita simpan RM10 sebulan sehingga anak berumur 18 tahun, jumlah itu akan menjadi RM4,000.
Ibu bapa disaran membuat tabungan awal secara konsisten kepada anak mereka dalam Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).
Ia bagi membantu ibu bapa membuat persiapan anak pada masa hadapan.
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata tujuan utama penubuhan ADAM50 adalah untuk menggalakkan pelaburan dibuat dari awal.
Katanya pelaburan yang dibuat menerusi ADAM50 ini tidak boleh dikeluarkan sehingga anaknya berusia 18 tahun.
Langkah itu memberi peluang kepada ibu bapa untuk menabung dan merancang masa depan anak mereka.
"Kalau kita simpan RM10 sebulan sehingga anak berumur 18 tahun, jumlah itu akan menjadi RM4,000.
"Cuba bayangkan kalau ibu bapa yang berkemampuan dan dapat menyimpan dalam akaun anak sebanyak RM100 sebulan, ia akan menjadi RM40,000 pada penghujung 18 tahun.
"Ini boleh membantu persiapan anak apabila dia masuk ke kolej selepas umur 18 tahun nanti," ujarnya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah kepada 1,000 pelajar di Batu Pahat, Johor.
Jelas Abdul Wahid, bagi menggalakkan lagi rakyat Malaysia membuat pelaburan pada masa akan datang, PNB akan menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 di Stadium Batu Pahat pada bulan April nanti.
#Abdul Wahid Omar #ADAM50 #anak #Permodalan Nasional Berhad #PNB #tabung
;