'Adam perlu jelaskan sumber kekayaan luar biasa' - Jamal
Wan Syamsul Amly
November 15, 2016 18:56 MYT
November 15, 2016 18:56 MYT
Sumber kekayaan yang diperolehi Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang, Datuk Adam Rosly disifatkan sangat luar biasa pada usianya baru mencecah 28 tahun.
Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, isu itu akan dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan selanjutnya.
"Gaya hidup Adam juga jauh berubah berbanding sebelum memegang jawatan di dalam PKR.
"Kejayaan itu yang kita persoalkan iaitu sebelum dia memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda AMK Ampang dan selepas AMK Ampang yang sebelum ini kita tak tahu identitinya bekerja apa," katanya semasa sidang media selepas meninjau hadapan rumah Adam di sini hari ini.
MESTI BACA: 'Darah diganti darah' - Jamal Yunos
Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis terhadap Jamal susulan ugutannya yang didakwa mengancam keselamatan.
Turut membuat laporan polis ialah Adam yang mendakwa Jamal dan pengikut membuat kekacauan di kediamannya pada 13 November lalu.
Dalam pada itu tegas Jamal, pihaknya akan mengumpul maklumat beberapa individu lagi di Selangor yang akan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, Adam menegaskan, banglo mewah yang dimilikinya di Jalan Pinang, Ampang, bukan berharga RM7 juta seperti yang didakwa pelbagai pihak.
Jelasnya, banglo berkenaan diperolehi melalui hasil bidaannya dengan pihak bank pada harga RM1juta.