Adam Loh bukan penerima vaksin COVID-19 pertama di Malaysia - KKM
Astro Awani
Februari 1, 2021 20:24 MYT
Februari 1, 2021 20:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan kenyataan tular yang mengatakan seorang sukarelawan bernama Adam Loh, adalah individu yang pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia.
KKM menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, berita tular itu telah disalah tafsir yang mana individu berkenaan sebenarnya telah menerima vaksin kajian dan bukannya vaksin COVID-19.
“Tersebar grafik di atas dalam media sosial yang mendakwa Adam Loi adalah penerima pertama vaksin COVID-19. Gambaran grafik tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Untuk makluman, beliau merupakan sukarelawan yang pertama menerima vaksin kajian COVID-19, dan bukannya vaksin COVID-19,” kata KKM.
Jelas KKM, menurut tatacara kajian klinikal, sukarelawan tersebut berkemungkinan menerima vaksin sebenar ataupun plasebo.
Oleh itu, menurut KKM, penerima vaksin COVID-19 yang pertama di negara ini masih belum ditentukan.
“Adalah menjadi harapan KKM, pencerahan ini dapat memberikan gambaran sebenar mengenai siapa penerima pertama vaksin di Malaysia.
“Pihak yang menularkan grafik tersebut diminta menghentikan sebaran dan memadamnya bagi mengelak kekeliruan terus berlaku di kalangan orang ramai,” kata kenyataan itu lagi.