Adam Adli tidak takut, teruskan perjuangan #MansuhAktaHasutan
Syafique Shuib
September 19, 2014 12:56 MYT
September 19, 2014 12:56 MYT
Aktivis sosial Adam Adli Abd Halim, 25, akan meneruskan perjuangan bagi pemansuhan Akta Hasutan, walaupun kini beliau berhadapan hukuman penjara selama 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.
"Apa yang berlaku hari ini adalah satu lagi sebab bagi saya untuk meneruskan perjuangan. Penjara 12 bulan ini membuktikan bahawa Akta Hasutan ini digunapakai untuk menghukum orang yang berbeza pendapat.
"Kita akan teruskan kempen #MansuhAktaHasutan. Kita juga akan tekankan pembebasan ramai lagi yang didakwa, ditahan dan disimpan di bawah Akta Hasutan," kata beliau kepada pemberita.
Beliau yang kelihatan tenang disamping ibu bapa yang turut hadir, meluahkan kebimbangan jika lebih ramai lagi akan dicaj, ditangkap dan disoal siasat dibawah Akta Hasutan.
"Sebelum ini ia digunakan terhadap aktivis dan musuh-musuh politik di negara ini tetapi kini, ia digunakan terhadap orang awam juga. Saya yakin dalam masa akan datang, rakyat Malaysia yang bimbang tentang isu ini akan bersatu agar akta ini dapat dimansuhkan," katanya.
Apabila ditanya jika beliau takut dengan usaha-usaha beliau dan juga hukuman penjara yang diterima Adam Adli berkata, "Hukuman penjara tiada apa-apa berbanding dengan dibawa ke tempat yang tidak diketahui."
Sementara itu, peguam Latheefa Koya yang mewakili Adam Adli berkata mereka akan membuat rayuan dalam tempoh sebulan dan menunggu keputusan Mahkamah Rayuan kelak.
Beliau turut membantah proses mitigasi pihak pendakwa raya yang telah menggunakan caj dan penyiasatan lain pada hasutan bertujuan untuk mempengaruhi mahkamah bagi memberatkan hukuman tersebut.
"Ia tidak adil," katanya dengan ringkas.
Ketika sidang media berlangsung, pihaknya belum lagi menerima alasan kehakiman.
"Kita tunggu dan lihat asas mahkamah yang mendapati ucapan Adam Adli berbaur hasutan," katanya.
Aktivis sosial itu didapati bersalah atas pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada Mei 2013.
Adam Adli didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur pada 13 Mei lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).