Adam Adli terkejut ‘kontroversi’ APBN dibawa ke Parlimen
Ridauddin Daud
November 15, 2023 12:40 MYT
November 15, 2023 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengakui agak terkejut apabila kontroversi membabitkan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) baru-baru ini, dibawa ke Parlimen, sehingga dijadikan satu usul.
Adam Adli berpendapat, isu tersebut bukanlah berkepentingan awam buat masa sekarang malah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah mengendalikannya sebaiknya.
Menurutnya, isu tersebut tidak perlu disensasikan dan andai ada kelemahan, ia boleh diuruskan dengan pertemuan yang bersifat matang.
“Cuma untuk menjawab soalan, yang pertama... jawatankuasa untuk pengesahan pemenang ini, dia telah putuskan tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer dan Ikon Belia Sanjungan Budi.
“Bukan hanya satu kategori, tetapi dua kategori yang tiada pemenang... dan ini adalah keputusan muktamad di mana tiada calon yang memenuhi kriteria yang telah pun ditetapkan.
“Kita juga tidak pernah keluarkan sebarang surat pemakluman kepada mana-mana individu sebagai pemenang.
“Jadi kita pun tertanya-tanya bagaimana boleh dianggap dirinya pemenang dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambahnya, kementerian juga telah mengeluarkan kenyataan media untuk jawab berkaitan penularan isu tersebut.
“APBN ini, tujuannya adalah untuk mengiktiraf golongan belia yang telah pun mencapai satu kejayaan yang sangat besar.
“Malangnya bagi kita... dalam Anugerah Perdana Belia Negara kali ni ada lebih 12 penerima anugerah, termasuk mereka yang telah memenangi pingat emas dalam Sukan Asia... (namun mereka) tidak diberi perhatian pun.
“Yang ini (punca kurang perhatian kepada pemenang), kita rasakan kerana terbawa-bawa oleh sensasi yang sedang berlaku terhadap hanya satu individu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang membangkitkan isu tersebut dan meminta penjelasan daripada KBS.