Adam Adli atau Fahmi Zainol? Debat Ketua AMK 8.30 malam ini

Israr Khalid
Mei 10, 2022 16:51 MYT
Yang mana satu pilihan anak muda PKR?
KUALA LUMPUR: Bahang Pemilihan PKR 2022 kian hangat. Jumaat (13 Mei) ini bermulanya penentuan kepada siapakah nakhoda-nakhoda yang bakal menggerakkan parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penggal yang akan datang dan paling utama, menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.
Di samping pertembungan kuda-kuda tua, turut menggamit perhatian adalah perebutan kerusi peneraju Angkatan Muda Keadilan (AMK), ketika parti itu menyantuni arus politik tanah air yang mendambakan akal dan keringat generasi pemimpin baharu.
Perebutannya antara satu lawan satu - Adam Adli Abdul Halim dengan Fahmi Zainol - dua nama yang tidak asing dalam aktivisme politik di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan.
Adam Adli, 33, mula dikenali sekitar 10 tahun lepas dengan penglibatannya dalam siri protes terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak serta kelantangannya memperjuangkan kebebasan bersuara serta hak pelajar untuk berpolitik di kampus.
Ketika masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli beberapa kali keluar masuk lokap atas tindakan aktivismenya dan tidak pernah berhenti sehingga hari ini dengan yang terbaharu disoal siasat polis berhubung penglibatannya dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki.
Pada September tahun lepas, Adam Adli secara rasminya menyertai PKR yang disambut mesra oleh Anwar, dan pada 30 Mac tempoh hari mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua AMK.
Pesaingnya, Fahmi Zainol, 31, juga ‘melakar’ nama sejak menuntut di Universiti Malaya (UM), mula menjadi perhatian pada 2014 apabila menentang larangan pentadbir terhadap penganjuran satu majlis ceramah bersama Anwar di universiti itu.
Susulan itu, dia dan tujuh rakannya yang terlibat digantung pengajian, lantas mencetuskan Gerakan ‘Occupy UM’ sebagai langkah mendesak universiti untuk menarik semula hukuman yang dijatuhkan kepada mereka.
Fahmi menyertai PKR pada 2015 dan dilantik menjadi Pengerusi Biro Pelajar parti itu, sebelum diberi tanggungjawab untuk memimpin pemuda PKR di Pulau Pinang hingga hari ini dan mengumumkan akan bertanding kerusi utama divisyen muda parti itu pada 27 Mac tempohari.
Kedua-duanya mempunyai misi yang sama, iaitu menyusun persiapan yang lebih kemas, teguh dan berbisa dengan semangat dan kekuatan orang muda untuk membantu parti mereka mengungguli PRU akan datang.
Namun siapakah yang memiliki strategi yang lebih baik, langkah yang lebih realistik dan personaliti yang lebih meyakinkan?
Jangan ketinggalan untuk menonton Debat Ketua AMK pada pukul 8.30 malam ini secara langsung di saluran 501 dan astroawani.com.
#Debat Ketua AMK #AMK #Adam Adli #Fahmi Zainol
;