Adakan proses tapisan di institusi pendidikan, elak perbuatan keji - Lee Lam Thye

Zaim Ibrahim
Mac 15, 2018 06:39 MYT
LEE: Proses tapisan bagi menilai tahap psikologi dan latar belakang seseorang perlu dijalankan bagi mengelakkan berlaku perbuatan yang tidak diingini. - BERNAMA/Fail
Semua individu yang terlibat dalam aktiviti di institusi berkaitan kanak-kanak perlu menjalani proses pemeriksaan latar belakang serta menilai tahap kesihatan mental mereka bagi mengelakkan pelajar daripada menjadi mangsa ekploitasi seksual.
Ahli Majlis Eksekutif Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden keji 21 pelajar sekolah tahfiz menjadi mangsa penderaan seksual dan liwat di Kuantan menunjukkan betapa pentingnya proses tapisan tersebut.
Beliau berkata proses tapisan boleh dilakukan secara berkesan dengan bantuan pihak polis serta pakar psikologi Kementerian Kesihatan.
"Apa yang berlaku itu merupakan perbuatan yang amat keji kerana suspek merupakan orang yang diberi kepercayaan oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
"Pihak berkuasa perlu menyiasat kes tersebut secara mendalam dan mengambil langkah segera agar tidak akan berulang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan polis, pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun yang didera secara seksual oleh pemberi sumbangan sekolah tahfiz berkenaan berlaku sejak Ogos tahun lalu, malah suspek turut meliwat enam daripada 21 pelajar berkenaan.
Lee berkata, pelajar tahfiz terbabit sepatutnya mendapat perlindungan dan tunjuk ajar oleh mereka yang lebih dewasa dan bukannya menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral individu yang mereka percayai.
"Saya berharap hukuman setimpal dapat diberikan kepada pelaku terbabit jika siasatan dan perbicaraan mendapati beliau bersalah melakukan penderaan seksual dan liwat tersebut," katanya.
BACA: Dakwaan liwat: 'Saya kecewa, penderma dah seperti ahli keluarga'- Pemilik maahad tahfiz
BACA: Enam pelajar tahfiz diliwat penderma
BACA: Guru dakwa 21 pelajar tahfiz mangsa dera seksual
#institusi pendidikan #jahat #Kementerian Kesihatan #pelajar sekolah #penderaan seksual #perbuatan keji #proses tapisan #psikologi #sekolah tahfiz #Tan Sri Lee Lam Thye #Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia