Adakan perbahasan jika tidak mahu jawatan tertinggi Umno dipertanding - Penganalisis
Haider Yutim
Jun 13, 2013 08:10 MYT
Jun 13, 2013 08:10 MYT
Umno perlu sekurang-kurangnya mengadakan satu sesi perbahasan jika bercadang untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.
Begitu pandangan seorang penganalisis politik, Ibrahim Suffian tentang cadangan beberapa pemimpin parti itu agar jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Beliau secara amnya menyokong keperluan Umno untuk mempertandingkan dua jawatan tersebut jika ia sebuah parti yang demokratik.
“Dalam politik semasa, cabaran yang dihadapi Umno lebih besar... (oleh itu) perlu ada pertandingan atau bahas bagi membincangkan strategi dalam pentadbiran seterusnya,” kata Pengarah Merdeka Centre itu kepada Astro Awani.
Beliau mencadangkan parti itu agar mengadakan perbincangan atau debat untuk melihat bagaimana sejumlah rakyat telah menolak Barisan Nasional (BN).
Katanya, tindakan menyalahkan sesetengah pihak tidak akan mengembalikan sokongan terhadap Umno atau BN, sebaliknya ia mampu diatasi dengan perbincangan.
“Umno perlu menangi semula rakyat secara keseluruhannya, dan bukan sahaja orang-orang Melayu,” kata Ibrahim.
Idea tersebut sebelum ini dicetuskan badan perhubungan Umno Negeri Sembilan. Ia bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.
Cadangan itu mendapat sokongan naib-naib presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut menyokong cadangan berkenaan.
Selain naib presiden, dan ketua pergerakan pemuda, timbalan pengerusi badan perhubungan Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyatakan sokongan sama.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri juga berpendapat jawatan itu sewajarnya tidak dipertandingkan.