'Adakan pakej ransangan khas untuk PKS'

Madiha Abdullah
Februari 11, 2021 12:51 MYT
Abdul Malik berpendapat, kerajaan perlu melibatkan peniaga kecil dan sederhana untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian kerana mereka juga memainkan peranan besar dalam ekonomi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan satu pakej ransangan baharu khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Naib Presiden I Dewan Perdagangan ASEAN Chamber of Commerce Datuk Abdul Malik Abdullah berpendapat, bantuan yang ada sekarang tidak memadai kerana ia bukan secara bersasar.
"Antara dilema paling serius dihadapi usahawan ketika ini ialah pembayaran gaji dan sewa kedai.
"Antara yang kami kemukakan dalam memorandum ialah, mungkin ada cara yang boleh dilakukan kerajaan untuk membantu pembayaran sewa kedai.
"Sebagai contoh, satu pertiga dibayar oleh kerajaan, manakala baki diselesaikan oleh peniaga dan pemilik lot kedai.
"Betul, memang kerajaan sudah memberikan bantuan tetapi masih banyak yang diperlukan peniaga.
"Ini bukan satu bentuk tekanan tetapi yang kami harapkan ialah kerjasama bagi menghasilkan langkah yang lebih efisien dan sesuai," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI hari ini.
Terdahulu, pasukan khas yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengusaha, menghantar memorandum 13 perkara kepada kerajaan.
Ia mengandungi antara lain, saranan supaya moratorium bank dilanjutkan kepada semua jenis pinjaman sehingga 31 Dis 2021 dan subsidi elektrik bagi tempoh yang sama.
Abdul Malik berkata, kerajaan perlu membuat penilaian dan pemantauan yang lebih teliti memandangkan situasi pandemik COVID-19 kini sudah memasuki setahun, namun aliran tunai belum menampakkan tanda untuk pulih.
"Saya harap kerajaan akan jemput kami dan pemain industri yang lain untuk adakan perbincangan serta mencari jalan penyelesaian.
"Yang ada sekarang, perbincangan, tetapi hanya dengan sektor besar seperti perkilangan dan pembuatan, sedangkan PKS juga memainkan peranan besar dalam ekonomi," ujarnya.
#COVID-19 #ekonomi #pandemik #peniaga #usahawan #subsidi #kerajaan #bank #PKS #bantuan #Pakej Ransangan #perbincangan #Abdul Malik Abdullah #memorandum #Moratorium #elektrik #aliran tunai
;