Adakan lebih banyak kempen kesedaran keselamatan warga emas - MCPF

Bernama
Ogos 20, 2017 06:49 MYT
LIM: Selain mudah ditipu, warga emas umumnya lebih lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri dengan baik menyebabkan mereka sering menjadi sasaran mudah penjenayah. - Foto fail
Kempen meningkatkan kesedaran tentang keselamatan warga emas perlu lebih banyak diadakan bagi membantu mengurangkan kes jenayah terhadap mereka, terutama yang tinggal bersendirian, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata pihak berkuasa dan orang ramai perlu memainkan peranan dengan berkongsi maklumat mengenai trend jenayah terkini dan modus operandi supaya warga emas tidak menjadi mangsa.
"Selain mudah ditipu, warga emas umumnya lebih lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri dengan baik menyebabkan mereka sering menjadi sasaran mudah penjenayah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan kesedaran tentang teknik pencegahan boleh membantu warga emas mengenal pasti situasi yang boleh mengundang jenayah dan mengambil tindakan positif bagi mengurangkan risiko, sekali gus membolehkan mereka hidup dengan tenang dan bahagia.
"Sebagai contoh, jika jenayah berlaku kepada warga emas, adalah lebih baik mereka tidak melawan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius dan kematian.
"Mereka harus bertenang dan cuba mengingati ciri-ciri fizikal suspek dan menghubungi polis sebaik sahaja selamat untuk berbuat demikian," katanya.
Mereka juga seharusnya tidak mudah mempercayai orang tidak dikenali dan mengambil langkah keselamatan seperti memastikan tingkap dan pintu sentiasa berkunci serta menghubungi ahli keluarga atau jiran jika mengesyaki sesuatu yang tidak kena, katanya.
Lee berkata kesedaran mengenai jenayah terhadap warga emas ini penting memandangkan unjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu bahawa Malaysia akan menjadi 'negara tua' menjelang 2030.
-- BERNAMA
#jenayah #kempen #Lee Lam Thye #MCPF #polis #warga emas
;