WABAK COVID-19 terus merebak ke seluruh dunia. Setakat ini, jumlah yang dijangkiti virus sudah melebihi tiga juta dan angka kematian adalah lebih daripada 200,000 orang di seluruh dunia.

Hakikat bahawa wabak ini boleh merebak dengan begitu cepat dari Wuhan di China ke seluruh dunia membuatkan ada pihak yang berhujah bahawa ini adalah bukti globalisasi adalah penyebab utama masalah ini dan oleh itu ia harus disekat.

Namun hujah tersebut sebenarnya adalah lemah. Seperti yang diketahui umum globalisasi merujuk kepada aspek pengantarabangsaan aktiviti manusia, terutama sekali dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Aktiviti ini bukanlah baharu, bahkan telah berlaku selama ratusan tahun sebelum ini lagi. Sebagai contoh, Marco Polo telah berdagang ke China dari Itali di Eropah semenjak kurun ke-13 sementara Laksamana Cheng Ho dilaporkan telah belayar dari China ke benua Afrika pada kurun 15 lagi.

Begitu juga pedagang dari negara Arab dan India telah datang ke Tanah Melayu semenjak ratusan tahun.

Dalam erti kata lain, perdagangan antarabangsa yang telah berlaku sejak zaman berzaman tidak akan dapat disekat kerana manusia sudah lama menyedari manfaat yang begitu banyak daripada aktiviti tersebut.

Tanpa aktiviti perdagangan antarabangsa, kita di Malaysia tidak akan dapat mengenali dan menikmati buah epal, kurma dan anggur kerana buah-buahan tersebut semuanya datang dari luar negara.

Begitu juga kita tidak akan dapat menggunakan peralatan canggih seperti komputer Apple, telefon pintar Samsung dan kereta BMW atau Honda tanpa wujudnya perdagangan antarabangsa atau globalisasi.

Jika kita mengatakan bahawa jangkitan penyakit akan dapat dicegah dengan menghapuskan globalisasi, maka sepatutnya kita juga harus mengatakan bahawa sikap suka berinteraksi antara manusia mesti dihapuskan selama-lamanya kerana kita tahu bahawa banyak penyakit sebenarnya berjangkit kerana interaksi manusia.

Namun, kita juga tahu bahawa adalah mustahil untuk manusia hidup tanpa berinteraksi dan oleh itu jelaslah bahawa saranan menghapuskan globalisasi adalah tidak logik sebenarnya kerana bertentangan dengan sifat semula jadi manusia.

Namun mengapakah kini ada pihak yang bersikap begitu negatif terhadap globalisasi sedangkan ia adalah hasil daripada sifat semula jadi manusia yang suka berinteraksi di antara satu sama lain dan suatu aktiviti yang sudah lama berlaku, bahkan telah dan sedang mendatangkan banyak manfaat kepada kita semua sejak zaman berzaman?

Orang asing ancaman buat rakyat tempatan?

Hakikat yang perlu kita sedari adalah ramai di antara kita kini adalah sangat keliru dengan keadaan kehidupan kita dan sentiasa merasakan bahawa kebanyakan daripada masalah kehidupan, terutama sekali dalam bidang ekonomi adalah berpunca daripada orang asing atau syarikat asing.

Sebagai contoh, syarikat tempatan merasakan bahawa kewujudan persaingan oleh syarikat yang datang dari luar negara telah banyak mengancam kewujudan mereka.

Sebagai contoh dalam sektor peruncitan, kewujudan pasaraya Tesco telah mengancam operasi banyak syarikat runcit tempatan.

Dalam sektor otomotif, kemasukan syarikat dari China dan Korea mengancam syarikat Proton dan Perodua.

Dalam bidang pekerjaan, kehadiran pekerja dari Bangladesh, Myanmar dan Vietnam menyempitkan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan.

Sebenarnya sentimen yang sama wujud dan turut dirasai di kebanyakan negara lain, termasuk di Eropah dan di Amerika Syarikat.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, banyak syarikat dalam pelbagai sektor telah terpaksa ditutup kerana tidak dapat bersaing dengan syarikat dari Jepun, Korea dan China.

Ramai rakyat Amerika juga merasakan kehadiran pendatang asing, terutama sekali dari Mexico menjejaskan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Oleh kerana itulah rakyat Amerika telah melantik Donald Trump sebagai Presiden. Ini kerana Trump telah berjanji akan melindungi mereka daripada ancaman dari luar negara.

Kebencian mereka kepada orang asing menjadi lebih kuat apabila dimaklumkan bahawa virus COVID-19 juga datang dari luar negara iaitu dari negara China.

Di Malaysia, ramai rakyat juga mula membenci kepada pelawat dari negara China yang dirasakan punca kepada masalah COVID-19.

Bahkan sekarang ini ramai rakyat Malaysia membenci semua orang asing terutama sekali yang berketurunan Bangladesh dan Rohingya kerana dirasakan mengancam kesejahteraan mereka.

Sebenarnya, punca kepada ketidakpuasan hati ini adalah kerana masalah ekonomi yang sedang dihadapi, terutamanya dari aspek kos sara hidup dan juga peluang pekerjaan.

Sekarang ini ramai rakyat yang menghadapi masalah pendapatan yang tidak mencukupi. Ramai yang tidak mempunyai pekerjaan yang stabil dan berasa tidak puas hati apabila melihat kecenderungan di kalangan ramai majikan untuk mengambil orang asing sebagai pekerja.

Hakikatnya, seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini, faktor utama kepada masalah tersebut adalah amalan sistem ekonomi sedia ada yang sentiasa menzalimi golongan bawahan terutama daripada kalangan pekerja kurang mahir.

Mereka adalah golongan yang pertama dibuang atau digantikan dengan pekerja asing jika syarikat menghadapi masalah kewangan.

Kebergantungan pada industri hutang, perbankan

Namun, ramai di antara kita yang masih tidak menyedari bahawa masalah kewangan yang begitu lumrah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat perniagaan adalah akibat daripada kebergantungan melampau pada industri hutang atau perbankan.

Akibat daripada operasi sistem perbankan, banyak syarikat telah berhutang dengan begitu banyak untuk bersaing sesama sendiri.

Oleh kerana bank boleh memberi hutang dengan begitu senang sekarang ini (hanya melalui catatan hutang sahaja kerana wang bukan lagi emas dan perak), maka industri perbankan telah banyak memberi hutang kepada syarikat-syarikat perniagaan, terutamanya daripada kalangan syarikat-syarikat yang bersaiz besar.

Akibat daripada itu juga, banyak syarikat telah wujud dalam sektor yang sama dan seterusnya bersaing dengan sengit sesama sendiri.

Modal yang banyak yang dipinjam daripada industri perbankan mengakibatkan berlaku persaingan yang tidak normal iaitu persaingan melampau persis persaingan di antara atlet-atlet yang menggunakan steroid.

Kita tahu bahawa walaupun steroid meningkatkan prestasi, namun dalam jangka panjang atlet-atlet yang menggunakan steroid akan menghadapi banyak masalah kesihatan.

Di dalam dunia perniagaan, dana hutang adalah steroid yang membantu menaikkan prestasi perniagaan. Namun ia akan menimbulkan banyak masalah dalam jangka panjang.

Masalah tersebut akan menjadi lebih serius apabila berlaku kemelesetan ekonomi seperti yang sedang dihadapi sekarang akibat COVID-19.

Hutang yang banyak menjadi beban kepada syarikat-syarikat dan mereka akan berusaha untuk mengurangkan kos operasi dengan mengurangkan kos upah dan gaji pekerja ke tahap paling minima.

Salah satu cara yang paling berkesan ialah dengan mengambil pekerja asing kerana kebiasaannya mereka tidak mempunyai keluarga dan sanggup bekerja dengan gaji dan upah yang lebih rendah berbanding kadar yang biasa diterima oleh warga tempatan.

Keadaan ini sekali gus menjadikan orang asing sebagai ancaman kepada peluang mendapatkan pekerjaan dalam kalangan warga tempatan.

Semua ini membuatkan warga tempatan menjadi lebih bersikap negatif kepada warga asing seolah-olah merekalah punca kepada semua masalah, walhal punca sebenar kepada semua permasalahan yang kita hadapi adalah industri hutang.

Riba, hutang masalah utama kepada manusia

Kemarahan kepada warga asing, terutama sekali terhadap orang Bangladesh dan Rohingya mungkin akan menjadi lebih teruk selepas ini akibat daripada masalah ekonomi yang akan menjadi lebih tenat susulan daripada kejadian wabak COVID-19 serta langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan ketat.

Sebenarnya penyelesaian kepada masalah kehidupan kita adalah bukannya dengan cara yang digunakan oleh Trump di Amerika Syarikat iaitu dengan menghalau orang asing keluar dari negaranya atau menyekat kemasukan barang import dari luar negara.

Langkah tersebut besar kemungkinan akan menimbulkan masalah lain yang lebih teruk kerana ketiadaan warga asing akan membuat kos upah melambung tinggi.

Di samping itu, menyekat kemasukan barangan import dari luar, terutama dari negara kos rendah akan juga meningkatkan harga barang-barang di kedai-kedai.

Penyelesaian sebenar yang merupakan penyelesaian jangka panjang adalah dengan menghapuskan punca kepada wujudnya persaingan sengit yang tidak normal ini.

Punca tersebut adalah industri hutang yang senantiasa membekalkan wang hutang yang banyak kepada firma-firma perniagaan untuk bersaing.

Selagi industri hutang wujud dan terus berkembang, masalah tidak akan selesai dan kesengsaraan akan sentiasa bertambah terutama kepada golongan pekerja-pekerja yang lemah.

Tanpa kesedaran ini, masyarakat akan sentiasa keliru dan membenci pihak-pihak yang sebenarnya bukan punca utama kepada masalah kesengsaraan kehidupan yang mereka sedang alami.

Sikap membenci pendatang asing bukan sahaja salah dari segi fakta, bahkan juga salah daripada sudut pandangan agama dan nilai kemanusiaan.

Oleh itu, ia perlu dibendung dengan segera sebelum ia menjadi satu lagi wabak buruk yang tidak dapat dikawal dan menjadi ganas.

Akhir sekali sikap menentang arus globalisasi juga bukan sahaja usaha yang silap bahkan akan merugikan semua pihak serta tidak mempunyai asas agama.

Sebaliknya, usaha yang mempunyai asas agama yang kuat dan kukuh adalah menentang industri riba dan hutang kerana ia adalah penyebab utama kepada kebanyakan masalah kehidupan kita semua.


* Prof Mohd Nazari Ismail bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.