'Adakah saya dilarang meninggalkan negara kerana isu 1MDB?' - Khairuddin

Astro Awani
September 18, 2015 19:29 MYT
Khairuddin tidak berpuas hati kerana satu-satunya alasan yang digunakan pihak berkuasa untuk menjelaskan larangan tersebut adalah atas sebab-sebab khas. - Gambar fail
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berang berikutan dirinya dilarang dan disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia ke luar negara hanya kerana ia ‘arahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Melalui laman Facebooknya, Khairuddin memberitahu, beliau terpaksa meleburkan segala kos persiapan untuk ke New York dan London berikutan larangan tersebut.
“Saya sepatutnya berlepas ke New York serta London jam 10.30 pagi hari ini (Jumaat) tetapi telah dilarang, disekat dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia atas arahan PDRM.
“Pihak Imigresen dan PDRM tidak memberi sebarang notis secara terus menerus kepada saya,” luahnya di laman media sosial itu.
Khairuddin mendakwa telah ke ibu pejabat Imigresen pada jam 8 pagi untuk mendapatkan penjelasan dari Bahagian Keselamatan Pasport tetapi pihak pegawai Imigresen hanya memaklumkan bahawa itu adalah arahan ibu pejabat PDRM Bukit Aman.
BACA: PM dan isteri tidak patut lengah saman malu - Khairuddin
BACA: 'Saman Sarawak Report dan WSJ boleh bersihkan nama Najib' - Khairuddin
Selain itu, peguamnya Matthias Chang turut dikenakan tindakan yang sama sepertinya tanpa sebarang alasan konkrit.
Khairuddin juga tidak berpuas hati kerana satu-satunya alasan yang digunakan pihak berkuasa untuk menjelaskan larangan tersebut adalah ‘atas sebab-sebab khas’, dan beliau menuntut PDRM memperincikannya.
Beliau mendakwa, pihak penguatkuasa undang-undang menyalahgunakan kuasa mereka kerana menahannya ke luar negara tanpa sebarang alasan kukuh serta munasabah.
“Adakah kerana mereka takut dengan tindakan saya untuk meneruskan perjuangan bagi menegakkan kebenaran ke arah menyiasat kes skandal kewangan 1MDB di luar negara?” tanya Khairuddin dalam Facebooknya.
Khairuddin turut berkata dia akan disoal siasat oleh polis berhubung siasatan kerana menyerahkan bahan bukti berkaitan isu 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland.
Portal berita The Malaysian Insider melaporkan pegawai kerajaan, sebelum ini telah memberikan respon yang menuduh Khairuddin membuat laporan 'palsu' dan 'bermotifkan politik'.
BACA: 'Penahanan Justo akan bongkar lebih banyak salah laku 1MDB' - Khairuddin
BACA: 'Saya bukan budak suruhan Tun Mahathir' - Khairuddin
#1MDB #Imigresen #Khairuddin Abu Hassan #larangan keluar negara #PDRM
;