'Adakah saya bukan manusia sehingga dinafikan hak asasi?' - Saiful Bukhari

Wan Syamsul Amly
Februari 10, 2016 15:55 MYT
SAIFUL BUKHARI: 'Cukuplah dana dan sokongan kepada Anwar' - Gambar fail
"Adakah saya ini bukan manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa oleh badan-badan hak kebebasan asasi manusia?"
Demikian keluhan Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam catatan ringkas di blog peribadinya (www.mohdsaifulbukhari.blogspot.com) sempena setahun perbicaraan kesnya berakhir.
Menurut catatannya, Mohd Saiful berkata pihak-pihak luar yang mempercayai, terutama pada negara-negara dan badan-badan antarabangsa, telah diberi tekanan dari sudut 'human rights' (hak asasi manusia).
"Anwar merupakan seorang tahanan jenayah dan bukan politik malahan tidak mempunyai sebarang kena mengena dengan penindasan demokrasi seperti yang didakwa pelbagai pihak.
"Anwar telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan diadili oleh sejumlah sembilan orang Hakim (satu di Mahkamah Tinggi, tiga di Mahkamah Rayuan, lima di Mahkamah Persekutuan), dimana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang tujuh tahun.
"Saya juga ambil maklum bahawa rata-rata mereka ini beri tekanan dari sudut 'Human Rights. Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan 'human' atau manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh Badan-Badan 'Human Rights?" kata Mohd Saiful lagi.
Tambahnya, semua pihak luar diminta tidak mempercayai perjuangan penindasan demokrasi Anwar sekali gus menghentikan pemberian dana serta sokongan kepada bekas ketua pembangkang berkenaan.
"Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh dan berduit serta kaya-raya dan bukannya orang kecil seperti saya ini, tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?" tanyanya lagi.
Dalam pada itu kata Mohd Saiful, keadaan kini lebih dilihat keterlaluan selain banyak penipuan terhadap kesnya.
"Antara penipuan dan 'spin' yang dikatan dilakukan mereka adalah seperti 'Tuduhan Palsu, 'Tahanan Politik', perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.
"Penipuan yang dilakukan ini bukan sahaja pada rakyat Malaysia, malah pada dunia. Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada Negara-Kerajaan di luar negara, individu-individu Berpengaruh, Badan-Badan Dunia sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi 'Derma Jutaan Dollar' untuk kempen pembebasan Anwar, juga tekanan pada Kerajaan untuk membebaskan beliau.
"Justeru, ingin saya nasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takut lah pada Allah SWT. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Saiful turut meminta Anwar menggunakan masa yang ada sebagai tempoh muhasabah selain berdoa yang terbaik untuk bekas majikannya itu.
"Lapan tahun dulu, dari mula saya membuat laporan Polis hinggalah ke saat ini, apa yang saya mahukan sebagai pengadu adalah aduan saya sepertimana dalam laporan polis mengenai perlakuan Anwar Ibrahim terhadap saya disiasat dan diadili, tidak lebih dari itu. Tidak sesekali saya berasa kesal.
"Kepada Anwar, setahun sudah berlalu. Semoga sihat dan tenang di sana. Gunakanlah tempoh muhasabah ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun bagi hambanya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik," jelasnya.
Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari 2015 kerana meliwat Mohd Saiful yang berusia 23 tahun ketika kesalahan itu dilakukan pada 2008.
#Anwar Ibrahim #mahkamah #Saiful Bukhari #tahahan politik #tahanan jenayah
;