Adakah rakyat Malaysia ketagihan internet?
Tan Su Lin
Oktober 6, 2016 19:53 MYT
Oktober 6, 2016 19:53 MYT
Purata masa yang dihabiskan pelajar malaysia di alam siber adalah di antara tiga hingga lima jam sehari, kebanyakannya untuk melayari laman media sosial selain mendapatkan maklumat.
Lebih membimbangkan, hampir 20 peratus kanak-kanak menghabiskan masa dengan permainan atas talian sekaligus menimbulkan risiko ketagihan internet pada usia muda.
Pengerusi Persidangan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa (Isia) 2016, Dr. Norharlina Bahar berkata, tanda ketagihan internet disifatkan sebagai kegagalan menjalankan rutin seharian akibat penggunaan internet secara berlebihan.
"Kajian yang paling membimbangkan apabila kita melihat ramai daripada golongan belia dan remaja di bawah umur 24 tahun yang menggunakan internet secara berlebihan. Apabila dia menggunakan internet secara berlebihan ia akan menyebabkan dia tidak boleh melakukan apa yang sepatutnya, contohnya tidak mahu pergi ke sekolah."
"Ini adalah antara perkara paling kerap diberitahu ibu bapa dan apabila kita menyiasat dengan lebih dalam, kami mendapati bahawa wujud masalah penggunaan internet berlebihan khususnya permainan atas talian," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Tahunan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa ke-5 di sini, hari ini.
Lebih membimbangkan, ujarnya, ketagihan permainan atas talian dilihat semakin serius di mana 18.9 peratus pelajar menghabiskan masa dalam aktiviti berkenaan.
"Kami tidak begitu bimbang tentang mereka yang menggunakan internet untuk mencari maklumat contohnya untuk kerja rumah. Itu memang penting tetapi mereka yang menggunakan internet secara berlebihan sehingga menjadi bankrap dan banyak berhutang dengan syarikat kad kredit, itu perlu dihentikan dan perlu ada kawalan terhadap golongan yang berisiko," katanya.
Tambahnya, golongan berisiko dikenal pasti adalah lelaki belia berusia bawah 24 tahun dan mempunyai masalah memberi tumpuan.