Adakah peniaga IKS Malaysia bersedia memasuki ekonomi digital?
Fareez Azman
April 4, 2020 18:32 MYT
April 4, 2020 18:32 MYT
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.
Itu pepatah yang dapat menggambarkan keadaan rata-rata peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) apabila majoriti mereka tidak dapat meneruskan urus niaga akibat pandemik COVID-19 ini.
Namun di sebalik kesukaran itu, ada peluang yang boleh diceburi oleh setiap perniagaan IKS di negara ini. Menurut Profesor Hubungan Industri dan Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. P Balakrishnan, sudah tiba masanya peniaga IKS untuk memasuki era ekonomi digital ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Jelasnya, platform sosial yang sering digunakan sebagai pengantara komunikasi umum seperti aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram boleh ditransformasikan sebagai pemasaran secara digital. Menerusi tindakan ini ujarnya, peniaga masih berpeluang memasarkan barangan mahupun produk mereka di pasaran tanpa bertemu pelanggan.
"Syarikat kecil dan sederhana (IKS), boleh mengikut simple method ini, di mana mereka boleh menggunakan WhatsApp mungkin ada customer makanan itu mereka boleh create WhatsApp Group dan telegram mereka boleh beri pelbagai menu dan harga berpatutan.
"Syarikat besar seperti supermarket, mereka ini sudah ada sistem atas talian sendiri sekarang, kita (pelanggan) boleh pesan keperluan harian melalui aplikasi dan barangan itu boleh hantar terus ke rumah. Masalah besar ialah perniagaan mikro, iaitu mereka bergantung kepada pendapatan harian, contoh peniaga nasi kukus dan sebagainya.
"Saya rasa ketika ini, kita tiada pilihan lain selain mengarahkan sistem perniagaan kita ke arah digital. Beberapa tahun lalu, Malaysia telah memperkenalkan Revolusi IR 4.0, dimana kita semua kena bersedia menggunakan alat telekomunikasi yang canggih terutama kepada sektor perniagaan kerana kesan agak teruk terutama Mikro dan IKS," katanya.
Tambah Prof Balakrishnan, sama ada bersediakah Malaysia untuk bergerak ke arah ekonomi digital bukan hanya bergantung kepada peniaga semata-mata, sebaliknya pakar tempatan dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan bidang pemasaran digital perlu tampil kehadapan untuk membantu peniaga dan kerajaan.
"Ini masa terbaik bagi pakar dalam teknologi maklumat (IT), pakar keusahawanan, pemasaran digital, sumber manusia dan berkaitan bidang ini. Mereka mesti beri pandangan munasabah, untuk bantu kerajaan kita.
"Kerajaan perlukan kepakaran mereka, di universiti tempatan kita ada banyak ahli akademik yang boleh membantu mereka terutama sekali bidang keusahawanan, pemasaran, teknologi maklumat dan sebagainya. Jangan tunggu dan lihat, kita lihat rakyat melalui fasa kerumitan ketika ini, jadi inilah masa bantu syarikat mikro dan IKS," katanya.
Jelas Prof Balakrishnan, jika perkara ini dapat dibuat, rakyat Malaysia akan menyaksikan e-bazar buat pertama kalinya menjelang bulan Ramadan pada pertengahan April ini.
"Sekarang kita tidak lama lagi akan masuk ke bulan Ramadan, ia adalah bulan yang amat penting bagi umat Islam. E-bazar contoh yang baik ini, masa apakah pentingnya digital ekonomi maka kita kena bersedia dimana keadaan pun.
"Pandemik COVID-19 ini memberi peluang untuk kita lihat polisi sedia ada dalam ekonomi digital. Ini masa terbaik untuk fikir dan bantu rakyat Malaysia," jelas Balakrishnan.
#COVID-19
#ekonomi digital
#Facebook
#Instagram
#Islam
#koronavirus
#Malaysia
#peniaga
#rakyat
#Ramadan
#SME
#UMK
#Usahawan Kecil
#WhatsApp