Adakah kakitangan kerajaan wajar mendapat kenaikan gaji?

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ogos 26, 2022 09:45 MYT
Penjawat awam perlu beramal dengan prinsip ukur baju di badan sendiri dan tidak berbelanja berlebihan mengikut nafsu semata-mata. - Foto fail
BARU-BARU ini Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat telah menggesa kerajaan agar melaksanakan cadangan menaikkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan ekoran masalah kos sara hidup yang semakin meningkat pasca pandemik.
Beliau juga mahukan elaun tambahan berjumlah RM150 ditambah kepada Imbuhan Tetap Penjawat Awam atau kepada Elaun Perumahan.
Persoalannya, adakah tuntutan CUEPACS ini wajar dan munasabah, dan adakah langkah ini akan dapat menyelesaikan masalah kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam yang berpendapatan rendah?
Jika dilihat kepada keadaan kos sara hidup di negara kita, memang tidak dinafikan bahawa ia sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.
Sebagai contoh, adalah sukar untuk mendapat apartmen sederhana dua bilik dengan kos sewaan kurang daripada RM1,000 sebulan.
Bahkan di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur, kos sewaan sebuah apartmen kini telah mencecah RM1,600 sebulan.
Bayangkan bagaimana seorang bapa yang tinggal di bandar ingin menyara keluarganya, selain daripada bayaran rumah, beliau juga perlu membayar kos kenderaan untuk pergi dan balik kerja, membayar bil-bil utiliti, yuran serta keperluan persekolahan anak-anak termasuk kos pengangkutan anak-anak ke sekolah dan lain-lain.
Oleh itu, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan sebenarnya akan menghadapi masalah kewangan yang teruk, terutama sekali jika mereka tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor Baru.
Bagi mengatasi masalah tersebut, ada pekerja yang sanggup tinggal jauh daripada bandar kerana kos perumahan yang lebih rendah.
Untuk menjimatkan kos pengangkutan, ada yang sanggup menaiki motosikal ke tempat kerja walaupun risiko kemalangan serius adalah amat tinggi dalam kalangan penunggang motosikal.
Inilah kesengsaraan hidup yang dihadapi oleh kakitangan berpendapatan rendah. Oleh yang demikian, tuntutan kenaikan gaji oleh CUEPACS adalah wajar dan munasabah sebenarnya.
Namun, apa yang perlu disedari oleh kita semua adalah langkah menaikkan gaji hanyalah penyelesaian jangka pendek.
Dalam jangka panjang, masalah tersebut tidak akan dapat diselesaikan kerana kos sara hidup akan sentiasa meningkat.
Tambahan pula beban hutang kerajaan juga turut bertambah dari tahun ke tahun dan oleh itu penambahan gaji dalam kalangan pekerja akan menambahkan lagi beban hutang kerajaan.
Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi semua ahli masyarakat untuk menyedari bahawa masalah kos sara hidup yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun sebenarnya adalah berpunca daripada sistem kewangan yang diamalkan oleh negara kita yang mana ia bergantung sepenuhnya kepada industri perbankan untuk kemajuan ekonomi.
Bagi memahami bagaimana industri perbankan telah menyumbang kepada masalah kos sara hidup, kita perlu memahami ciri asas industri tersebut iaitu keupayaannya untuk mencipta wang daripada tiada menjadi ada.
Ini berlaku apabila bank memberi pinjaman wang kepada pelanggan. Pada umumnya, ramai di antara kita yang tidak mengetahui hakikat bahawa bank sebenarnya bukanlah perantara di antara penyimpan deposit dan peminjam.
Ini dijelaskan dengan terperinci oleh Bank of England di dalam penerbitannya iaitu Quarterly Buletin 2014 (Q1) bertajuk ‘Penciptaan Wang dalam Ekonomi Moden’ (Money Creation in the Modern Economy) seperti berikut (terjemahan):
“... bank sebenarnya bukan memberi pinjaman daripada deposit yang diletakkan oleh pendeposit di dalam bank, sebaliknya tindakan bank memberi pinjamanlah yang mewujudkan deposit - dan urutan ini adalah terbalik daripada apa yang biasanya diterangkan di dalam buku teks.”
Penerbitan tersebut juga menjelaskan bahawa (terjemahan):
“Bank komersil mencipta wang, dalam bentuk deposit bank, dengan memberi pinjaman baharu. Apabila bank memberi pinjaman, contohnya kepada seseorang yang meminjam untuk membeli rumah, ia kebiasaannya tidak berbuat demikian dengan memberi mereka wang kertas bernilai ribuan paun.
Sebaliknya, ia akan mengkreditkan akaun bank mereka dengan deposit bank sebanyak pinjaman tersebut.
Pada masa ini, wang baru akan tercipta. Oleh kerana itulah, sesetengah ahli ekonomi telah merujuk deposit di dalam bank sebagai 'wang fountain pen', iaitu wang yang tercipta apabila jurubank menggoreskan pen mereka bagi meluluskan pinjaman".
Sudah tentu bank-bank juga perlu memastikan bahawa kesemua peminjam mampu membayar balik kesemua pinjaman mereka sepenuhnya (termasuk tambahan faedah atau keuntungan untuk pihak bank).
Jika tidak, aset bank akan menyusut. Sekiranya terlalu banyak pinjaman tidak berbayar, maka bank akan menjadi muflis.
Bagi membolehkan orang ramai terus meminjam wang untuk membeli rumah, kereta dan pelbagai tujuan lain, pihak bank hanya perlu melanjutkan tempoh pembayaran balik. Oleh sebab itulah di Malaysia kini, tempoh pembayaran telah meningkat.
Dalam kes pinjaman perumahan, tempoh telah meningkat daripada kira-kira 10 tahun sahaja pada tahun 1970-an, menjadi 30 atau 40 tahun sekarang.
Dalam kes kereta, tempoh pinjaman juga telah dilanjutkan sehingga menjadi maksima 9 tahun sekarang.
Satu fakta penting yang kita semua perlu sedar adalah sektor perbankan di Malaysia telah berkembang dengan sangat pesat.
Pada tahun 1960, jumlah aset perbankan berbanding KDNK di Malaysia adalah hanya 9.75 peratus. Angka berkenaan telah meningkat menjadi 158.92 peratus pada tahun 2020.
Sememangnya diakui bahawa sistem perbankan telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang rancak di negara ini.
Keadaan tersebut dapat berlaku kerana sistem berkenaan membenarkan pinjaman mudah diberikan oleh pihak bank kerana wang bukan dalam bentuk fizikal malah mudah untuk diciptakan, iaitu hanya melalui beberapa ketukan pada papan kekunci komputer oleh pegawai bank.
Namun pada masa yang sama, sistem ini telah menghasilkan suasana di mana harga barangan dan perkhidmatan sentiasa meningkat saban tahun dan tahap hutang di dalam masyarakat juga sentiasa meningkat.
Tahap hutang yang tinggi yang ditanggung oleh pihak majikan, sama ada di sektor awam atau swasta adalah faktor utama kepada masalah mengapa gaji tidak dapat dinaikkan.
Dalam kes kerajaan Malaysia, hutang kerajaan kini sudah melebihi RM1 trilion. Oleh kerana itulah kerajaan Malaysia semakin berhati-hati dan berhemah dalam berbelanja.
Malangnya langkah berhemah ini agak mencabar untuk dilaksanakan kerana masalah rasuah masih lagi tidak dapat diatasi, sama ada dalam kalangan pemimpin politik mahupun penjawat awam.
Akibatnya ada ahli politik dan pegawai kerajaan di peringkat atasan yang menjadi jutawan sementara yang menjadi mangsa langkah berhemah kerajaan adalah golongan pekerja sokongan dan pelaksana.
Berdasarkan kepada analisis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa punca utama masalah kenaikan kos sara hidup ialah kerana wujudnya sistem kewangan berasaskan hutang, di mana industri perbankan merupakan penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Oleh itu, selagi sistem ini wujud dan berkembang, masalah kos sara hidup yang sentiasa meningkat tidak akan selesai.
Jika kerajaan sudah lama berjaya mengawal perbelanjaan, tidak membazir dan menghapuskan rasuah, mungkin rezab kerajaan dapat digunakan untuk memberi bantuan secara langsung kepada rakyat yang berpendapatan rendah.
Malangnya, apa yang telah berlaku adalah sebaliknya dan oleh yang demikian hutang kerajaan sendiri semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Sebagai rumusan, sudah sampai masanya kini semua ahli masyarakat termasuk daripada kalangan penjawat awam memberi perhatian kepada penyelesaian masalah dalam jangka panjang iaitu dengan menghapuskan sistem ekonomi yang berpaksikan kepada industri hutang, dan bukan memberi fokus kepada penyelesaian masalah jangka pendek sahaja iaitu melalui kenaikan gaji untuk diri mereka atau golongan mereka sahaja.
Di peringkat peribadi, penjawat awam perlu beramal dengan prinsip ukur baju di badan sendiri dan tidak berbelanja berlebihan mengikut nafsu semata-mata dengan menggunakan duit yang dipinjam dari industri perbankan.
Jika ini gagal diamalkan, kenaikan gaji yang diminta sudah tentu masih tidak akan cukup untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka walaupun dalam jangka pendek.

* Prof Mohd Nazari Ismail merupakan Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#cuepacs #penjawat awam #gaji minimum #kos sara hidup
;