PADA 22 Mac lepas, tiga pekerja telah maut sementara seorang pemandu kereta cedera parah apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Sg Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras.

Pada 3 Mac pula, satu kemalangan maut telah melibatkan lebuh raya yang sama dekat Desa Tun Razak. Dua wanita maut dan tiga lagi cedera parah apabila sebahagian daripada jejambat dalam pembinaan jatuh menghempap van kilang yang mereka naiki akibat dilanggar oleh treler yang membawa jentera berat.

Dalam kejadian terkini, Kementerian Kerja Raya pada hari yang sama telah mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara waktu. Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengarahkan pemaju supaya mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian dan pembinaan. Menurut beliau, jalan raya di sekitar projek pembinaan itu turut ditutup sehingga tahap keselamatan disahkan benar-benar selamat.

Walaupun kerajaan telah bertindak pantas namun saya melihat rakyat terutamanya pengguna jalanraya belum benar-benar yakin dengan keselamatan mereka. Dua kemalangan dalam tempoh kurang dari sebulan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan parah pengguna jalanraya sudah tentu memerlukan tindakan-tindakan yang lebih dari itu.

Hari ini mereka yang memandu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR 2) dari Zoo Negara di Hulu Kelang ke Sungai Besi terpaksa melalui beberapa kerja-kerja pembinaan lebuh raya. Ia merupakan pengalaman yang menggerunkan apabila terdapat kren yang mengangkat barang-barang binaan atau konkrit. Walaupun terdapat pekerja-pekerja yang mengawal namun malang tidak berbau sepertimana kejadian pada 22 Mac lepas.

Selain dari itu laluan kenderaan pula kadang-kala berubah-ubah. Apabila terdapat kerja-kerja hendak dijalankan atau apabila barang-barang pembinaan telah sampai ke tapak maka trafik terpaksa dilencongkan. Terdapat kes di mana papan-papan tanda yang disediakan lambat disedari oleh para pemandu yang boleh mengakibatkan kemalangan.

Begitu juga mereka yang memandu di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur dari Jalan Ampang hingga ke Taman Setiawangsa. Mereka menghadapi risiko kerana terpaksa melalui kerja-kerja pembinaan lebuhraya yang berjalan di atas kepala mereka. Hakikatnya terdapat banyak lagi pembinaan yang dijalankan di seluruh Lembah Kelang sama ada untuk projek lebuhraya atau projek MRT (Mass Rapid Transit) seperti itu. Selain dari itu terdapat banyak lagi projek-projek kediaman atau komersial yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

Bukan sahaja dua kes yang berlaku di tapak kerja-kerja SUKE ini yang meragut nyawa tetapi terdapat kes-kes lain yang melibatkan tapak-tapak pembinaan. Selalunya rakyat tidak akan begitu cemas apabila kes-kes ini melibatkan hanya pekerja-pekerja tapak tersebut walaupun sebarang kehilangan nyawa perlu dipandang serius. Tetapi jika ia melibatkan orang awam yang hanya secara kebetulan berada di tempat kejadian sudah tentu rakyat akan menuntut tindakan-tindakan yang drastik.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain dari kes-kes kematian di SUKE bulan ini telah terdapat sekurang-kurangnya 15 kes kemalangan maut yang melibatkan tempat pekerjaan sejak 1 Disember 2020 di negara kita. Kes-kes ini adalah yang dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) dan mungkin terdapat kes-kes lain yang tidak laporkan. Di antara sebab-sebab kematian adalah dilanggar kren bergerak, digilis jentera, dihimpit kerangka besi, dihimpit kren bergerak, dihempap jentera piling dan tersepit lif. Terdapat satu kes di mana orang awam telah maut akibat dihempap konkrit pada bulan September tahun lepas.

Walaupun banyak kes-kes kemalangan yang melibatkan pembinaan lebuhraya yang tidak menyebabkan kematian namun ia cukup membimbangkan. Sejak bulan Januari 2018 telah terdapat 5 kes sebelum tragedi bulan ini. Salah satu darinya melibatkan orang awam. Pada 19 September 2020, seorang wanita nyaris maut apabila kepingan konkrit dari kerja-kerja pembinaan SUKE terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2.

Berikutan dua2 tragedi tersebut ada pakar yang mencadangkan agar Prosedur Operasi Standard ( SOP ) dikaji semula. Ada juga yang mencadangkan supaya mereka yang bertanggungjawab menguruskan projek termasuk pekerja-pekerja biasa diberikan kesedaran melalui pelbagai kursus.

Memang SOP perlu dikaji semula dan diperketatkan kerana bagi sesiapa yang pernah melalui tapak pembinaan lebuhraya sudah tentu tidak akan merasa selamat. Di salah satu tapak pembinaan yang pernah saya bertugas, seorang pekerja Indonesia telah maut apabila penyambung peranca ( scaffolding ) sepanjang 8 inci terjatuh dari tingkat atas dan mengenai kepalanya. Justeru itu bukan sahaja kren atau kepingan konkrit boleh membunuh tetapi tukul besi yang jatuh dari aras yang tinggi boleh membunuh.

Kesedaran terhadap keselamatan melalui kursus-kursus dan taklimat-taklimat juga penting. Hari ini kebanyakan pekerja-pekerja adalah warga asing. Kursus ini penting bagi mereka. Saya sentiasa berhati-hati apabila melihat seorang warga asing mengawal trafik pada jalan yang telah menjadi satu lorong di mana kenderaan dari kedua-dua hala terpaksa menunggu giliran mereka. Kadang-kala terdapat pemandu yang enggan berhenti walaupun pekerja telah mengangkat bendera merah. Akibatnya kereta boleh bertembung. Mengangkat bendera juga perlu ada teknik.

Negara kita memiliki akta seperti Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan 1994, jabatan seperti DOSH dan institut penyelidikan seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang khusus untuk menangani isu kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Tetapi ianya tidak bermakna jika tidak terdapat pemantauan yang terperinci lagi tegas dan pendakwaan serta hukuman yang menginsafkan. Pemantauan pula mestilah oleh kerajaan dan bukan pemantauan dalaman. Tidak ada guna SOP yang ketat jika tidak kuatkuasakan.

Selain dari itu perancangan bandar-bandar kita terutamanya di Lembah Kelang boleh dipertikaikan. Segala-galanya dilakukan seolah-olah serentak. Pembinaan lebuhraya dan MRT ada di mana-mana. Rakyat tidak dapat melihat ia mampu diuruskan dengan baik dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kesusahan. Anda tidak perlu memandu jauh di Lembah Kelang untuk bertemu dengan kerja-kerja lebuhraya, MRT malah pembentungan. Ternyata pelaksanaan secara serentak ini menimbulkan masalah kepada rakyat termasuk kesan kepada alam sekitar. Kami tidak berkata ia tidak perlu tetapi ia perlu diuruskan dengan baik.



* Datuk Iskandar Abdul Samad ialah Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.