Adakah anda sedia kembali ke pejabat? Ini dapatan kajian IPSOS

Astro Awani
Oktober 1, 2021 18:25 MYT
Memetik kajian yang dilakukan IPSOS, 33 peratus daripada 352 responden Malaysia mahukan bekerja di rumah. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hampir satu pertiga rakyat Malaysia mahu kekal bekerja dari rumah atau diberi pilihan lebih masa diberikan kepada mereka untuk bekerja dari rumah.
Memetik kajian yang dilakukan IPSOS, 33 peratus daripada 352 responden Malaysia mahukan bekerja di rumah.
Bagaimanapun, 32 peratus responden Malaysia memilih tidak mahu bekerja dari rumah atau kurangkan masa bekerja dari rumah.
Sementara itu, 25 peratus responden menyatakan pendirian bahawa mereka tidak dapat memilih.
Manakala 10 peratus lagi mahu kekal seperti sebelum ini.
Jika dibandingkan dengan dapatan global melibat 12,445 responden, 35 peratus responden mahu bekerja di rumah.
33 peratus pula mahu bekerja dari rumah atau kurangkan masa bekerja dari rumah.
Sementara 21 peratus responden global pula menyatakan pendirian bahawa mereka tidak dapat memilih.
Manakala 11 peratus responden global mahu kekal seperti sebelum ini.
Dalam pada itu, kajian sama turut mendapati 74 peratus responden Malaysia mahu kebebasan berkenaan jumlah masa mereka ke pejabat.
Malah, 71 peratus akui lebih produktif apabila bekerja dalam waktu yang fleksibel.
Antara perkara yang dikongsikan responden Malaysia adalah 64 peratus merindui bekerja bersama rakan-rakan dan 48 peratus sifatkan rumah menyebabkan mereka kurang produktif.
Selain itu, 42 peratus akui rasa terlalu penat apabila bekerja di rumah sementara 39 peratus lagi akui rasa tertinggal kerja apabila bekerja dari rumah.
Secara umumnya, 73 peratus responden Malaysia sifatkan majikan perlu lebih fleksibel dalam memberi ruang kepada pekerja untuk ke pejabat.
Manakala 40 peratus berkemungkinan akan mencari kerja lain jika majikan mahu mereka bekerja bukan dari rumah sepenuh masa.
#Kajian Ipsos #Bekerja Dari Rumah #masa fleksibel bekerja #produktiviti kerja
;