Ada yang tidak hargai air percuma - Azmin Ali

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 20, 2015 22:51 MYT
Kata Azmin, skim air percuma itu tidak memberi apa-apa erti kepada mereka yang berpendapatan tinggi hingga digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. - Gambar Fail
Pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bagi rakyat Selangor diteliti semula bagi memastikan skim berkenaan benar-benar sampai kepada golongan sasar, kata Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali.
Azmin berkata, buat masa ini, dasar itu dilihat tidak menepati matlamat apabila rata-rata pemberian itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, skim air percuma itu tidak memberi apa-apa erti kepada mereka yang berpendapatan tinggi hingga digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.
"Mereka akan guna untuk cuci kereta, untuk berkebun dan mereka tidak menghargai pemberian air percuma ini," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu juga menjelaskan, kerajaan Selangor berhasrat supaya pemberian air percuma itu dimanafaatkan oleh mereka yang tinggal di bangunan strata atau pangsapuri kos rendah dan sederhana.
Jelas beliau, RM11.40 bagi 20 meter padu itu amat besar nilainya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Tetapi bagi mereka yang berpendapat tinggi, ia mungkin satu perkara kecil dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan akhirnya akan berlaku pembaziran dari segi kegunaan air.
"Ia bukan soal ketirisan dalam program tapi pembaziran dan tidak hargai pembiayaan yang begitu besar oleh kerajaan negeri," katanya lagi.
Azmin pada masa sama menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan apabila bertindak mahu mengkaji semula dasar berkenaan.
Jelas beliau, pendapatan dan hasil kerajaan negeri cukup kukuh dan telah meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Tidak. Kita tidak punyai masalah kewangan. Seperti yang kita nyatakan dalam beberapa perbahasan dan perbincangan terdahulu, pendapatan dan hasil kerajaan negari itu cukup kukuh dan kuat, tetapi sekali lagi kita mahu mereka yang menerima bantuan air percuma ini adalah mereka yang benar-benar menghargai pemberian air percuma itu," tegasnya.
Dengan kadar kos RM120 juta hingga RM150 juta setahun, beliau mengakui ia jumlah yang besar apabila rakyat sewenangnya melakukan pembaziran.
Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR itu menyarankan penduduk Selangor mengguna pakai teknologi sedia ada dalam menguruskan penggunaan air.
"Kita ada konsep dan teknologi lain untuk siram pokok, basuh kereta dengan menggunakan air hujan, tetapi konsep ini belum lagi digunakan rakyat Selangor maka ia perlukan kempen kesedaran.
"Dan ini sedang diteiliti untuk mendidik rakyat Selangor dan beri kesedaran kepada mereka supaya berjimat cermat serta pada masa sama menggunakan teknologi terkini untuk menakung air hujan bagi kegunaan lain," katanya lagi.
Pada Isnin, Azmin memaklumkan, kerajaan Selangor mahu meneliti semula pemberian air percuma 20 meter padu sama ada program itu benar-benar menepati hasrat asal yang bertujuan membantu rakyat.
#air #Azmin Ali #Menteri Besar #Selangor #SYABAS
;