"Ada yang pujuk saya tarik diri," - Raihan Sulaiman

Irwan Muhammad Zain
September 21, 2013 01:00 MYT
Calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Raihan Sulaiman mendakwa ada pihak yang cuba memujuk beliau menarik diri dari meneruskan hasrat mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Namun, anak tokoh veteran Umno itu bertekad untuk terus bertanding kerana ia merupakan kemahuan ahli Umno khususnya Wanita di peringkat akar umbi.
Katanya, jika tidak kerana ahli-ahli Umno yang mahukan perubahan, beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno.
"Saya tak nafikan ada yang cuba pujuk saya untuk menarik diri dari mencabar Datuk Seri Shahrizat, tetapi saya sudah buat keputusan.
"Hidup mati saya perlu tersukan hasrat untuk bertanding kerana ini yang dimahukan oleh ahli-ahli Umno peringkat akar umbi," katanya ketika ditemubual astro AWANI.
Sebelum ini Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan tiada sebarang "rundingan di sebalik tabir" antara beliau dan Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung penarikan diri Azalina bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu.
"Tiada 'perjumpaan' atau wujud sebarang delegasi bagi memujuk Azalina menarik diri daripada bertanding (jawatan ketua Wanita) dalam pemilihan parti bulan depan," katanya.
Sementara itu ketika mengulas hasrat mencabar Shahrizat, Raihan menjelaskan, sebelum ini beliau tidak terlintas untuk bertanding tetapi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), ramai dikalangan ahli Umno bercakap soal mahukan perubahan pucuk pimpinan.
Justeru kerana perubahan dimahukan oleh ahli-ahli Umno, maka beliau menawarkan diri untuk mencabar Ketua Wanita sedia ada.
"Ketika PRU13, saya turun berkempen bantu Umno dan Barisan Nasional, ramai yang bercakap soal nak selamatkan parti.
"Jadi kerana ahli kata mahukan perubahan, jadi ini masanya untuk mereka lakukan perubahan, ini peluang untuk mereka buktikan apa yang mereka mahu.
"Kalau peluang ini tidak digunakan, jadi jangan bercakap soal mahu perubahan, jangan lagi salahkan pemimpin, mengata pemimpin itu dan ini, kerana peluang untuk lakukan perubahan sudah ada tetapi mereka tidak lakukan," katanya.
Beliau mengakui rasa berat hati untuk terus bertanding apabila Azalina membuat keputusan menarik diri daripada merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno.
Namun katanya, beliau perlu meneruskan cabaran yang dibuat sebelum ini kerana niatnya mahu menyelamatkan Umno yang dikatakan berada pada tahap kritikal.
Raihan juga menjelaskan tema 'Wanita Wasatiyyah Kembali Kepada Fitrah' merupakan visi beliau untuk kempen jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno.
Beliau juga berharap, tidak ada cubaan untuk mana-mana pihak membuka aib sesiapa dalam usaha untuk memenangi apa-apa jawatan.
"Jangan kita buka aib sesiapa semata-mata kerana mahu menang apa-apa jawatan," katanya lagi.
Raihan juga menjelaskan beliau membawa semangat arwah bapanya, Sulaiman Ahmad yang lebih dikenali sebagai Sulaiman Palestin untuk bertanding kali ini.
"Saya bawa semangat arwah bapa saya untuk bertanding. Kalah menang adat bertanding," katanya.
Sulaiman Palestin merupakan orang kedua dalam Umno bertanding jawatan Presiden parti menetang Tun Hussein Onn pada tahun 1978.
Ketika itu Sulaiman memegang jawatan Ketua Penerangan Umno. Ada yang menyifatkan tindakan Sulaiman itu sebagai tindakn 'berani mati'. Namun begitu beliau tewas dengan mendapat 250 undi manakala Tun Hussein mendapat 898 undi.
Sebelum Sulaiman, jawatan Presiden Umno yang dipegang oleh Tunku Abdul Rahman pernah ditentang oleh Tan Sri Chik Mohamad Yusuf Sheikh Abdul Rahman atau CM Yusuf.
#pemilihan #raihan sulaiman #Shahrizat Jalil #Wanita UMNO