"Ada yang bertahun tak jumpa anak selepas bercerai" - Mas Ermieyati sayu dengar nasib golongan bapa

Hasimi Muhamad
Januari 12, 2022 10:33 MYT
Mas Ermieyati (dua dari kanan) bersama wakil Persatuan Bapa Malaysia selepas mengadakan pertemuan pada Selasa. - Gambar Facebook Mas Ermieyati
KUALA LUMPUR: Selama ini, barangkali, kita semua harus mengakui, selama ini kisah yang sering sampai ke telinga kita ialah nasib wanita yang berhadapan dengan tekanan apabila melalui episod kegagalan rumah tangga.
Namun, berbeza pada kaum lelaki yang tidak ramai mengetahui bahawa golongan ini juga antara yang sering menjadi mangsa perceraian terutama melibatkan isu penjagaan anak.
Hal ini turut diakui oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkongsi rasa sayunya apabila mendengar luahan mengenai nasib yang dilalui oleh golongan bapa selepas melalui proses penceraian dengan pasangan.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, Mas Ermieyati berkata kisah tersebut dikongsi oleh Persatuan Bapa Malaysia ketika beliau berpeluang bertemu dengan kepimpinan persatuan itu pada Selasa.
Berbeza dengan situasi sebelum ini, jelas Mas Ermieyati, beliau acapkali mendengar kisah si ibu yang diceraikan dan berhadapan dengan sikap suami yang lepas tangan.
"Cukup berbeza kali ini. Pelbagai situasi dan cerita dikongsi. Ego seorang lelaki akhirnya tumpas disebabkan sayang dan rindu sangat kepada anak.
"Ada yang bertahun-tahun tidak dapat bertemu dengan anak setelah bercerai kerana hak penjagaan diberikan kepada ibu. Walaupun ada ditulis boleh berjumpa tetapi tiada akses," katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Berkongsi lanjut, Mas Ermieyati berkata, beliau turut mendapat maklum mengenai kepayahan seorang bapa untuk berjumpa dengan anak mereka kerana mendapat perintah daripada mahkamah, dan perlu mematuhi masa dan lokasi yang ditetapkan.
"Lari sikit seperti mana yang diperintahkan, si bapa boleh dikenakan tindakan.
"Ada juga yang berkongsi mengenai ibu memberi tekanan terhadap anak-anak agar membenci kepada ayah mereka.
"Anak dalam kebingungan dan akhirnya berada dalam tekanan. Cuba bayangkan, budak umur sembilan tahun boleh terfikir untuk cubaan membunuh diri disebabkan tekanan mental yang diberikan oleh ibu mereka," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati tidak menolak kemungkinan bahawa ramai golongan bapa yang berdepan nasib yang sama.
Tambahnya, apa yang diharapkan oleh seorang bapa hanyalah keadilan untuk memberi dan berkongsi kasih sayang mereka, walaupun kehidupan sebagai suami isteri telah berakhir.
"Anak-anak tidak boleh menjadi mangsa.
"Saya menghargai usaha saudara Sheikh Faleigh (Pengasas Bersama Persatuan Hak Bapa Malaysia, Sheikh Faleigh Sheikh Mansor) dan lain-lain di Persatuan Hak Bapa ini dalam memperjuangkan nasib bapa di luar sana dalam mendaptkan keadilan untuk mereka.
"Mereka mengharapkan agar mahkamah di Malaysia boleh berlaku adil terhadap kedua-dua belah pihak dan bukan sahaja terhadap wanita," ujarnya.
#Mas Ermieyati Samsudin #Persatuan Bapa Malaysia #perceraian #Rumah Tangga
;