Ada surat sita barang, tapi tiada waran masuk rumah - Vida

Sinar Harian
November 27, 2024 09:10 MYT
Tangkap layar sesi penstriman langsung Vida di TikTok pada Selasa. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida mendakwa pihak plaintif sememangnya ada surat sita aset daripada mahkamah, tetapi tidak mempunyai satu lagi dokumen penting iaitu waran masuk ke dalam rumah.
Vida berkata, plaintif berjaya memasuki kawasan rumah atas dasar kerjasama yang diberikan pekerja, namun keizinan tersebut di luar pengetahuannya.
“Sebab ex-parte (sebelah pihak) tanpa kehadiran boleh ambil penghakiman. Ini saya tahu pada hari kejadian sita rumah.
“Staf tak boleh hubungi saya kerana dalam perjalanan ke luar negara, maka mereka buat keputusan sendiri. Diberitahu ada sita.
“Sepatutnya ada satu lagi surat. Sita barang ada, surat masuk rumah tak ada, tetapi atas kerjasama staf yang saya pun tak tahu, mereka (plaintif) dipersilakan masuk,” katanya menerusi sesi penstriman langsung di TikTok pada Selasa.
Isnin lalu, media melaporkan Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman gagal melunaskan hutang sebanyak RM1,060,285 untuk pengubahsuaian kilangnya di Shah Alam, Selangor menjadi studio pada 2018.
Empat kereta mewah milik beliau turut disita iaitu Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7 serta semua barangan di dalam rumah berkenaan.
Pihak mahkamah bersama peguam, Samir Zainal dan kontraktor, Mohamad Taufik Kamarul tiba di rumahnya di Persiaran Bukit Meru pada jam 9 pagi sambil ditemani wartawan.
BACA: Datuk Vida lantik peguam selesai isu hutang lebih RM1 juta
Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan masuk kira-kira jam 10.30 pagi selepas beberapa kakitangan Vida tiba.
Menurut Samir, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan penghakiman yang memerintahkan Vida untuk menyelesaikan hutang pada 29 Oktober tahun lalu.
Difahamkan, pelantun lagu Ku Ikhlaskan itu hanya mempunyai tempoh dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menyelesaikan baki hutang, jika tidak mahu barangannya dilelong.
Vida turut memberitahu, perkara tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada peguam memandangkan ia sudah mendapat liputan meluas.
“Tak tahulah ini takdir dan ujian saya, dipanggil pula wartawan datang depan rumah. Maka, terbukalah aib yang tidak sepatutnya.
“Tetapi, saya rasa netizen bijak dan tahu kisahnya macam mana. Saya takkan tak bayar hutang orang!
“Orang berniaga tak boleh ada hutang, insya-ALLAH perkara ini saya serahkan kepada peguam. Tolong doakan saya supaya terus kuat dan hebat kerana setiap ujian ada hikmahnya,” ujar Vida. - Sinar Harian
#surat sita barang #waran masuk rumah #hutang #Datuk Seri Vida
;