Ada sinar naratif politik baharu daripada beberapa pemimpin muda - Chun Wai
Israr Khalid
Julai 27, 2021 06:20 MYT
Julai 27, 2021 06:20 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika sebahagian ahli politik mempamerkan perangai lama yang sama tatkala Parlimen bersidang semula untuk mesyuarat khas mulai Isnin lalu, Datuk Seri Wong Chun Wai berpendapat, masih ada harapan naratif politik baharu dapat bermula dalam kalangan beberapa pemimpin muda.
Penasihat Akhbar The Star yang juga ahli Majlis Pemulihan Negara itu melihat mereka ini, walaupun berbeza parti, bangsa dan agama, tetap dapat menggerakkan kerjasama untuk melancarkan usaha pemulihan negara.
“Kita patut beri kredit kepada yang layak.
"Menteri Kewangan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) melakukan sesuatu yang sangat baik, mempamerkan budaya Malaysia dengan menghormati orang yang lebih tua apabila beliau bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan nasihat.
"Ia perkara yang betul untuk dilakukan.
“Kemudian, kita tahu yang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) Khairy Jamaluddin (Ahli Parlimen Rembau dari BN) turut mengajak Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi dari DAP) bersama membantunya dalam program vaksinasi.
"Saya rasa ini sangat baik untuk Malaysia dan inilah caranya untuk kita ke hadapan," katanya sambil memuji kematangan politik ditunjukkan wakil rakyat tersebut.
Kematangan itu, kata Wong, diharapkan seluruh rakyat Malaysia ketika waktu genting yang menuntut ketenangan dan kebijaksanaan, khususnya oleh mereka yang memimpin negara.
Inilah kebersamaan yang diharapkan, katanya sambil memetik kata-kata tokoh hak asasi manusia Martin Luther King Jr iaitu “kita datang dari kapal yang berbeza tetapi ketika ini kita di dalam bot yang sama,” supaya seluruh Malaysia bersama mengemudi negara menuju masa depan yang lebih baik.
Namun, jika pemimpin terus bermain politik dan bertelingkah tanpa kesudahannya, beliau berpendapat sukar untuk Malaysia berkembang dalam segala aspek.
“Walaupun selepas kita mencapai imuniti kelompok nanti, kita masih tidak dapat keluar daripada masalah sekiranya para pelabur melihat permainan politik yang melampau begini.
“Siapa mahu labur di Malaysia kalau mereka lihat hari-hari orang bergaduh? Rakyat sudah meluat dengan semua ini,” tegasnya.
Maka sebagai salah seorang ahli penyelaras Majlis Pemulihan Negara yang baru dilantik, beliau melihat Pelan Pemulihan Negara sebagai satu inisiatif yang baik dan medium yang membawa bersama wakil-wakil daripada pelbagai pihak untuk menjayakannya.
Beliau juga melihat majlis perundingan sebegini wajar dilanjutkan walaupun selepas krisis pandemik COVID-19 berakhir sebagai salah satu cara yang baik untuk rakyat mengutarakan pandangan masing-masing.
#Agenda Awani
#Wong Chun Wai
#Khairy Jamaluddin
#Mahathir Mohamad
#rakyat Malaysia
#program vaksinasi
#imuniti kelompok
#pandemik
#Parlimen
#usaha pemulihan negara
#naratif politik
#pemimpin
#wakil rakyat
#ahli politik
#Majlis Pemulihan Negara