Ada sesuatu mengganggu fikiran? Anda tidak berseorangan, #letstalkaboutit

Maisarah Atan
Oktober 12, 2016 10:11 MYT
#letstalkaboutit
LET'S talk about this.
Anda pasti telah menonton video PSA tentang Hari Kesedaran Kesihatan Mental yang kami muat naik di Facebook Astro AWANI sejak beberapa hari ini.
Muat naik tersebut disusuli banyak komen dan pandangan, terutama sekali tentang realiti isu tersebut tidak dipandang berat oleh masyarakat umum, dan anda tidak mendapat bantuan sepatutnya, walaupun dengan kempen kesedaran yang dibuat pada peringkat nasional dan dunia.
Izinkan saya berkongsi sesuatu tentang penyakit mental. Ia bukan perkara zahir. Bukan bengkak pada lutut. Bukan masalah keguguran rambut. Bukan kanser. Masalah kesihatan senyap ini tidak jelas pada pandangan kasar masyarakat. Jadi, sekiranya anda rasa anda perlukan bantuan, anda perlu #reachout.
Saya bercakap daripada pengalaman peribadi. Apabila kita berasa sedih, dan walaupun kesedihan itu impaknya lama, orang di sekeliling, secara amnya, akan cenderung membuat andaian bahawa itu cuma kesedihan, tanpa bahaya lain. Masa akan menyembuhkan. Itu cuma perasaan, dan perasaan akan hilang, secara beransur-ansur.
Benar, kami mahu masyarakat lebih sensitif. Itu satu sisi kempen berkenaan. Namun kami juga mahu anda mengenal satu kelompok manusia ini, dan salah seorangnya adalah saya sendiri, yang mana pada zahirnya dilihat kuat.
"Dia boleh uruskan dirinya sendiri. Dia akan kembali pulih, sendiri."
Saya ada sistem sokongan yang kuat, baik daripada ahli keluarga, mahupun rakan-rakan yang sentiasa sedia membantu. Tapi realitinya, seolah-olah ada had masa untuk sesuatu masalah diceritakan, bukan?
Selepas satu tempoh masa, kita sudah perlu pulih. Dan berasa sedih terlalu lama membuatkan kita rasa lemah, dan paling menakutkan, jadi satu perkara yang menjengkelkan orang sekeliling kita.
Pengurusan emosi dan mental adalah hak dan tanggungjawab sendiri, walaupun masyarakat digesa untuk lebih prihatin. Ada NGO yang menawarkan khidmat nasihat, sebagai contoh Befrienders, yang boleh dihubungi melalui banyak medium seperti telefon, email, atau berkunjung sendiri ke pejabat mereka.
Salah seorang sukarelawan di sana pernah memberitahu, mereka menggalakkan masyarakat lebih terbuka dalam membincangkan masalah terutama tekanan perasaan.
Biarlah setiap kali anda menghubungi mereka, anda bercakap tentang isu yang sama berulang-ulang kali, kepada sukarelawan berlainan, namun itu antara inisiatif sihat untuk mengawal serta mengurangkan risiko masalah kesihatan mental.
Sekiranya anda perlu seseorang untuk mendengar masalah anda, kadangkala cuma perlu angkat telefon dan #reachout. Anda tidak keseorangan. #letstalkaboutit
#gaya hidup sihat #kesihatan mental #ketenangan jiwa #PSA #Sakit Mental #stres #tekanan
;