Ada restoran mamak terpaksa gulung tikar kerana tidak cukup pekerja - Presma
Ridauddin Daud
Februari 14, 2022 05:35 MYT
Februari 14, 2022 05:35 MYT
KUALA LUMPUR: Industri makanan khususnya melibatkan restoran mamak kini berdepan masalah kekurangan pekerja terutamanya selepas pekerja asing tidak dibenarkan pulang ke Malaysia sejak pandemik melanda dunia.
Situasi tersebut menyebabkan ada restoran, walaupun perniagaan bagus dan semakin pulih, terpaksa gulung tikar kerana tidak cukup kakitangan untuk menjalankan operasi harian.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, mereka bukan tidak mencuba untuk menggaji pekerja tempatan, namun usaha yang dilakukan sebelum ini tidak membuahkan hasil diharapkan.
“Dalam keadaan sekarang, kebergantungan kepada pekerja asing masih perlu, memang perlu sangat-sangat.
"Dan segala usaha kami untuk mendapatkan pekerja tempatan umpamanya melalui program bersama Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), program Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) dan berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja, juga tidak membuahkan hasil.
"Contohnya program dengan Perkeso, kami ini jatuh di tangga terakhir sekali untuk pilihan bagi pekerja tempatan.
“Mungkin mereka masih berpegang dengan apa yang disebut 3D (kotor, bahaya dan sukar) itu, tetapi saya tak nampak di mana dirty, di mana dangerous-nya itu.
"Sudahnya, kebergantungan kepada pekerja asing itu masih perlu,” katanya kepada Astro AWANI.
Begitupun, katanya, mereka kini boleh menarik nafas lega kerana baru-baru ini kerajaan membenarkan pekerja yang berada di luar negara untuk pulang ke Malaysia melalui My Travel Pass.
“Kerajaan perlu ada budi bicara untuk membenarkan pekerja asing pulang ke negara ini. Saya bukan bercakap mengenai sektor restoran saja.
“Kalau pergi ke ladang sawit, yang nak mengait buah pun tiada. Kalau pergi Cameron Highlands, pemborang yang kita beli sayur, mereka kata kebergantungan kepada pekerja asing tinggi.
“Itu yang menjadikan keperluan itu tinggi. Tetapi apabila sayur-sayur ini tiada, itu yang menjadikan harga naik,” ujarnya.
Bagi menyelesaikan masalah kekurangan pekerja, kata Jawahar Ali, banyak cara boleh dicadangkan seperti menggunakan robot dan sistem layan diri.
Namun, jelasnya, semua itu memerlukan sela masa yang sesuai supaya ia dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Banyak pilihan, umpamanya ada sesetengah premis menggunakan robot. Mungkin satu masa nanti di sektor restoran mungkin boleh buat layan diri seperti di stesen minyak.
"Tetapi semua ini perlukan satu masa yang anjal. Mungkin dua tiga tahun nanti, kita akan biasa dengan perkara baru ini, untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing.
“Satu lagi harapan saya, ialah supaya warga tempatan, anak-anak belia dapat tampil masuk ke dalam industri makanan.
"Bukan selamanya kita nak bekerja sebagai pelayan. Mungkin satu hari nanti mereka juga boleh jadi pemilik restoran,” katanya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan masalah kekurangan pekerja di restoran mamak bukan saja sudah mencapai tahap tenat, malah ada yang hanya menunggu masa untuk menutup premis.
Itu situasi digambarkan Exco Presma Pusat, Abdul Aziz Shik Ahmad berhubung keadaan semasa dihadapi pengusaha restoran selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
Jika tahun lalu restoran mengalami kekurangan pelanggan, tetapi kini sebaliknya berlaku apabila pekerja pula kurang, sehingga menjejaskan operasi.