Ada pihak mahu musnahkan agenda Bumiputera - Mustapa

Bernama
Mac 25, 2018 06:12 MYT
MUSTAPA: Ada pihak yang tidak senang hati dengan agenda negara bagi memperkasakan bumiputra mereka mahu agenda itu dirombak semula.
Ada pihak dilihat cuba meraih keuntungan politik dengan memainkan isu-isu berkaitan agenda bumiputera, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Justeru, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan meminta golongan bumiputera supaya tidak terpengaruh dengan strategi pihak berkenaan bagi mengelak agenda yang dirangka kerajaan sejak sekian lama terbantut dan tidak dapat dilaksanakan.
"Ada pihak yang tidak senang hati dengan agenda negara bagi memperkasakan bumiputra mereka mahu agenda itu dirombak semula.
"Mereka mahu memusnahkan agenda-agenda bumiputera yang dilakukan oleh tokoh-tokoh terdahulu demi kepentingan sendiri dan justeru kita mahu rakyat bersatu dan tidak mudah mempercayai isu-isu yang boleh membawa kepada perpecahan kerana kerajaan sudah menyediakan pelbagai agenda dan perancangan bagi memperkasa setiap kaum di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Warga Pendidik Parlimen Jeli di Dewan Lanas Perdana Politeknik Jeli di sini, pada Ahad.
Majlis yang disertai kira-kira 400 warga pendidik dari Parlimen Jeli itu turut dihadiri Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Mustapa berkata golongan bumiputera seharusnya berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperkasakan mereka untuk memiliki daya saing dengan kaum-kaum lain.
"Sebagai contoh UiTM menjadi kebanggaan kita kerana telah banyak berjasa dengan melahirkan ramai tokoh negara, pemimpin, tokoh korporat dan tokoh keusahawanan.
"Selain itu, ramai anak bumiputera berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana keistimewaan yang diberikan dan mereka mungkin tidak berpeluang untuk belajar di lain-lain universiti kerana syarat kemasukan yang ketat," katanya.
Sementara itu, Hassan berkata program UiTM bersama warga pendidik itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada guru-guru mengenai kepentingan universiti berkenaan kepada masyarakat Melayu dan bumiputera.
"Dalam masa sama, ia juga menjadi ruang untuk berkongsi maklumat tentang peluang kemasukan pelajar ke UiTM sekali gus memberi peluang kepada warga UiTM untuk mendengar pandangan, komen dan aspirasi pendidik terhadap institusi pengajian ini," katanya.
-- BERNAMA
#agenda #Bumiputera #guru #keuntungan #Mustapa Mohamed #pendidik #perpecahan #politik #UiTM #UMNO Kelantan
;