Ada pihak cuba politikkan cadangan penggabungan UMT, UNISZA - Maszlee

Madiha Abdullah
September 13, 2019 21:00 MYT
Maszlee Malik (dua,kanan) melawat pameran pada program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan anjuran Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. - Bernama
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyifatkan bantahan dan protes yang timbul dalam kalangan pelajar berkenaan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) sebagai salah faham yang terjadi akibat maklumat kurang tepat yang diberikan kepada mereka.
Lebih mengecewakan, terdapat beberapa pihak yang dikatakan menggunakan isu tersebut untuk kepentingan politik.
"Apabila anda mendengar sebahagian daripada maklumat dan bukan keseluruhan cerita, ia akan membawa kepada salah faham. Lebih teruk apabila ada sesetengah pihak cuba mempolitikkan isu ini, maka terjadilah bantahan.
"Harapan kita, apa yang kita cuba bawa, kedua-dua UMT dan UNISZA, dalam satu entiti, akan menjadi sebuah pusat rujukan pendidikan global," kata beliau.
Cadangan penggabungan dua institusi pengajian tinggi awam itu kata Maszlee, lebih terarah kepada menghasilkan sebuah universiti yang lebih kukuh, berdaya saing dan berupaya menjadi pusat rujukan pendidikan antarabangsa.
Tambah beliau, pencapaian UMT tidak begitu baik berbanding universiti tempatan lain, malah dari perspektif kebolehpasaran graduan juga tidak memuaskan.
Maszlee juga menegaskan dakwaan rasuah serta penyalahgunaan kuasa di UMT dan cadangan penggabungan institusi berkenaan dengan UNISZA merupakan dua isu berbeza.
"Kementerian serahkan kepada SPRM untuk menguruskannya kerana ia di luar bidang kuasa kita.
"Kementerian Pendidikan akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang melakukan siasatan berkaitan rasuah di mana-mana IPT, sekiranya ada," ujarnya.
Maszlee ditemui pada majlis prapelancaran Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan anjuran Jabatan Perdana Menteri di sini, pada Jumaat.
Program itu mensasarkan untuk kembali membudayakan membaca, khususnya dalam kalangan penjawat awam, yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari 2020 hingga 2030.
#Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #pelajar #pendidikan #politik #protes #Rasuah #SPRM #umt #UniSZA #universiti malaysia terengganu #Universiti Sultan Zainal Abidin