Ada pihak akan persoal pelaburan Arab Saudi di Malaysia - PM Najib
Rahimah Abdullah
Februari 27, 2017 20:21 MYT
Februari 27, 2017 20:21 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan ada pihak yang akan mempersoalkan pelaburan besar Arab Saudi di Malaysia sebagaimana yang dibuat China.
Kerajaan sekali lagi katanya, akan dituduh cuba menjual negara.
"Seperti yang kita lihat, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan banyak negara. Apabila kami ke China, kami dituduh menjual negara, jadi saya terfikir apakah yang akan mereka katakan apabila Arab Saudi melabur di Malaysia.
Adakah mereka akan katakan kami akan menjual negara kepada Arab Saudi?," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud di Seri Perdana di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, perkara yang lebih penting ialah pelaburan yang dilihat bakal memberi banyak manfaat kepada negara.
"Sebenarnya persoalan utama adalah mengenai pelaburan. Pelaburan baik untuk negara kerana ia boleh membawa masuk pelaburan asing, mengukuhkan ringgit, lebih banyak peluang pekerjaan, dan keyakinan dalam ekonomi kita," tambahnya.
Pada sidang media itu, Najib turut mengumumkan kerjasama pelaburan antara Petronas dan Saudi Aramco bernilai USD7 bilion untuk memajukan dan mengendalikan sebuah kilang penapis minyak di Pengerang, Johor.
"Seperkara amat besar boleh dikatakan paling menarik perhatian dalam lawatan ini keputusan dicapai antara Aramco dan Petronas tadi bincang rundingan telah selesai dan dimuktamadkan, dengan ini esok akan dilangsungkan majlis tandatangan antara Petronas dan Aramco untuk memaju dan mengendalikan kilang penapis minyak di Pengerang, Johor di bawah Rapid," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan ia sebagai pelaburan tunggal yang terbesar.
"Nilai pelaburan adalah USD 7 bilion ini jumlah sangat besar dan sangat signifikan. Pelaburan berkenaan adalah pelaburan tunggal terbesar," katanya.
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud tiba pada Ahad untuk memulakan lawatan negara empat hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen.
Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 iaitu oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.
Sebelum itu Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan ke Malaysia pada 1970.
Pada 2016, Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Timur Tengah.