Ada pengusaha perkahwinan mahu bunuh diri akibat penutupan industri - PPMPM

Astro Awani
Februari 15, 2021 18:43 MYT
Kata Zarinah, penutupan industri perkahwinan telah memberi tekanan yang begitu teruk kepada beberapa pengusaha. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membenarkan pembukaan semula industri perkahwinan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, tindakan tidak membenarkan pemain industri perkahwinan beroperasi memberikan impak yang besar dari segi emosi dan mental pengusaha berkenaan untuk mengharungi musim pandemik yang mencabar.
Tegasnya, kesan daripada permasalahan itu juga telah memberi tekanan yang begitu teruk kepada beberapa pengusaha termasuk hasrat untuk membunuh diri, gangguan emosi dan tekanan perasaan.
"Industri perkahwinan sedang dalam keadaan yang sangat kritikal, tenat dan terjejas akibat larangan beroperasi semasa pandemik COVID-19 dan secara khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan.
"Ratusan pengusaha perkahwinan akan gulung tikar buat kali kedua dalam masa terdekat sekiranya industri tidak beroperasi sehingga bulan Mac 2021.
"Ini kerana pada bulan April menjelangnya bulan Ramadan, tiada sebarang aktiviti perkahwinan berlangsung menjadikan hampir enam bulan industri ini tidak beroperasi pada tahun ini sekali gus menyamai rekod pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata Zarinah juga, terdapat lebih kurang 35 sektor di dalam industri perkahwinan dengan 4,200 pengusaha dan bilangan pekerja setahun dianggarkan sebanyak 62,000 orang.
"Secara kasar, anggaran jualan setiap pengusaha ialah RM2.5 juta setahun. Data ini secara amnya membuktikan bahawa 62,000 pekerja di dalam industri perkahwinan terkesan dengan teruk sejak larangan mengadakan majlis sosial berikutan penularan pandemik COVID-19 dengan nilai kerugian dalam bentuk hasil jualan tahunan dianggarkan sebanyak RM10.3 bilion.
"Untuk rekod purata jumlah majlis perkahwinan ialah 206,000 setahun. Ini membuktikan betapa besarnya sumbangan industri perkahwinan kepada pertumbuhan ekonomi negara," ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Zarinah berkata, penutupan industri dan larangan operasi itu turut membawa kepada pelbagai masalah perundangan yang dialami pengusaha majlis perkahwinan.
"Rungutan daripada pelanggan-pelanggan, bayaran pampasan yang dituntut semula, “refund”, tidak terkecuali juga saman yang dilakukan oleh pihak pelanggan yang tidak berpuas hati di mana hal-hal yang dinyatakan ini telah menjadi titik tolak bebanan yang begitu besar kepada pengusaha-pengusaha.
"Permasalahan ini juga telah menyebabkan kerugian yang sangat besar yang perlu dihadapi dan ditanggung oleh pengusaha-pengusaha dan ini juga sekali gus menyebabkan peningkatan kes di Tribunal Pengguna.
"Kadar permintaan pelanggan untuk pemulangan bayaran dan juga deposit meningkat 200 peratus dan tidak tertampung oleh kami kerana kadar permintaan tempahan adalah kosong peratus atas faktor larangan beroperasi dan sekatan PKP tetapi pelanggan masih menuntut pembayaran semula deposit mereka," kata beliau.
#SOP #Ramadan #perkahwinan #COVID-19 #pandemik #PKP
;