Ada pengguna langsung tidak peduli keadaan kenderaan sebelum mulakan perjalanan - PDRM
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 1, 2022 15:30 MYT
Mei 1, 2022 15:30 MYT
TANGKAK: Tidak melakukan pemeriksaan keadaan kenderaan dan persediaan rapi sebelum memulakan perjalanan adalah antara punca masalah yang sering dihadapi segielintir pengguna jalan raya setiap kali menjelang musim perayaan.
Tabiat sambil lewa dan ambil mudah itu antara penyumbang berlakunya kesesakan disebabkan kenderaan mereka 'tersadai' di tengah jalan atau di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superitendan Bakri Zainal Abidin, malah segilintir mereka gagal melakukan pemeriksaan asas yang ringan ke atas kenderaan mereka.
Akibatnya mereka bukan sahaja terkandas di lebuh raya, malah akan turut menyumbang masalah kepada pengguna lain.
"Ada segelintir pengguna yang kita dapati langsung tidak mengambil kisah tentang kenderaan mereka. Malah mereka gagal memeriksa tangki air kereta mereka sehingga berlakunya masalah. Bila kita datang untuk beri bantuan dan periksa kereta mereka, tangki airpun kering kontang dan berkarat.
"Ada antara pengguna yang tidak memeriksa minyak enjin, pelincir dan sebagainya. Bahkan minyak kenderaan mereka sendiri. Kita harap mereka ini mengambil sikap yang lebih berat. Kerana kegagalan kecil kita akhirnya memberi masalah yang besar pada pengguna lain," jelasnya kepada Astro AWANI ketika melakukan rondaan di laluan lebuh raya menghala ke selatan.
Jelasnya, pihak polis akan cuba membantu pengguna jalan raya semampu yang mungkin bagi meringankan beban mereka.
Namun masalah tersebut mampu dielakkan jika ada kesedaran dalam kalangan pengguna kenderaan.
Ia sekali gus akan menjimatkan masa dan tenaga anggota polis, supaya dapat lebih menumpukan perhatian terhadap keselamatan dan kelancaran pengguna jalan raya.