Ada pemimpin kritik kenaikan gaji penjawat awam - PM Anwar

Faida Rahim
Mei 4, 2024 12:00 MYT
Anwar turut menegaskan kenaikan gaji penjawat awam lebih daripada 13 peratus ini merupakan terbaik dalam sejarah dan ini merupakan usaha beliau sebagai Perdana Menteri untuk mengurangkan kesenjangan gaji. - Foto BERNAMA
TAMBUN: Susulan pengumuman skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ada pemimpin yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
Beliau, ketika berucap di perhimpunan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 pada hari ini, berkata segelintir pihak yang tidak bersetuju tanpa alasan munasabah wajar 'dihumban' dalam pilihan raya akan datang.
"Saya tahu ada yang mengkritik, ada Ahli Parlimen yang berkata mana tahu dalam Parlimen tidak akan lulus, saya nak tengok muka mana yang menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam.
"Kalau ada orang yang berani menentang ini tanpa ada alasan yang munasabah, kita humbankan mereka dalam pilihan raya. Usaha-usaha kita lakukan ini, walaupun saya beritahu ekonomi tidak begitu baik, tetapi sekarang berkembang.
"Wang tidak ada, saya kena cari. Yang boros saya kena tamatkan. Yang rasuah saya kena uruskan. Siasat, tangkap dan akhir hukum supaya jadi pengajaran," katanya.
Anwar turut menegaskan kenaikan gaji penjawat awam lebih daripada 13 peratus ini merupakan terbaik dalam sejarah dan ini merupakan usaha beliau sebagai Perdana Menteri untuk mengurangkan kesenjangan gaji.
"Bagi kalangan yang di bawah, peringkat bawah, kenaikan gaji lebih tinggi kerana kita tidak mahu kesenjangan terlalu tinggi di antara gaji pegawai tinggi dengan gaji yang di bawah.
"Sebab itu skim kita ini akan berubah supaya tentunya yang tinggi harus tinggi, orang yang berkhidmat 30 tahun tak mungkin gajinya sama dengan orang berkhidmat 3 tahun. Orang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran mesti diberi pengiktirafan. Tetapi jangan terlalu berlaku kesenjangan," katanya.
#Anwar Ibrahim #bomba #Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 #Gaji penjawat awam
;