Ada peluang adik selamat jika terima suntikan vaksin - Masing
Bernama
Jun 5, 2021 23:29 MYT
Jun 5, 2021 23:29 MYT
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing masih berkabung atas pemergian adik lelakinya Jantai Masing, 68, akibat COVID-19 di Hospital Kapit pada 31 Mei lalu, sehari sebelum masyarakat Dayak di Sarawak menyambut Hari Gawai.
Menurutnya, peluang adiknya untuk selamat daripada jangkitan virus itu lebih cerah sekiranya menerima suntikan vaksin sama seperti anak mendiang, Kodi, yang menjaga ayahnya ketika dijangkiti virus itu, terselamat kerana sudah menerima vaksin.
"Pilihannya mudah - vaksin dan hidup, jangan mati! Vaksin adalah satu-satunya penawar untuk membendung Koronavirus. Kita mesti menggunakannya jika manusia mahu selamat daripada pandemik maut ini," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.
Masing, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, berkata program vaksinasi di kawasannya yang terletak di daerah Kapit diterima baik oleh penduduk di sana namun mahu jaminan kerajaan Persekutuan bahawa bekalan vaksin yang mencukupi sampai ke bahagian pendalaman negeri itu dengan segera.
"Jika Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan) boleh memberi jaminan kepada saya bahawa vaksin akan cepat sampai di Kapit, maka saya jamin penduduk akan keluar untuk mendapatkan vaksin," katanya.
Sementara itu, ADUN Pelagus Wilson Nyabong berkata beliau akan menyelaras kerjasama antara Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk mempercepatkan proses pendaftaran suntikan vaksin di kawasan penempatan luar bandar.
Menurutnya, pemimpin masyarakat setempat juga akan diminta membantu menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai di Pelagus supaya mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin tersebut.
"Sambutan juga menggalakkan jika sekolah rendah di kawasan saya dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan proses imunisasi," katanya.
-- BERNAMA
#Dr James Jemut Masing
#program vaksinasi
#vaksin
#suntikan
#Pusat Pemberian Vaksin
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#COVID-19
#pandemik
#jangkitan