Ada peguam subahat bantu sindiket pindah milik tanah di Selangor - MB Amirudin

Firdaus Azil
Januari 26, 2025 14:15 MYT
Amirudin (dua, kiri) berkata siasatan awal pihak berkuasa mendapati kegiatan kumpulan pegawai berkenaan turut melibatkan pejabat peguam tertentu. -Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Kerajaan Selangor percaya penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah seperti yang dilaporkan baru-baru ini, bergerak dalam satu sindiket terancang.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Selangor percaya penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah bergerak dalam satu sindiket terancang yang turut melibatkan pejabat peguam tertentu.
  • Siasatan menunjukkan kegiatan tersebut dilakukan semasa peralihan sistem manual data ke komputer dan tempoh penyelenggaraan sistem, dengan tujuh penjawat awam dari Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang telah dipindahkan ke jabatan lain.
  • Kerajaan Negeri akan memperkemas prosedur operasi standard dan memperkukuh kawalan terhadap data untuk mengelakkan kegiatan tidak sah ini daripada berulang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata siasatan awal pihak berkuasa mendapati kegiatan kumpulan pegawai berkenaan turut melibatkan pejabat peguam tertentu.
Setakat ini, beliau berkata, siasatan menunjukkan mereka mengambil kesempatan membuat kegiatan tersebut sewaktu peralihan sistem manual data ke komputer, dan sewaktu tempoh penyelenggaraan sistem.
“Kita dapati semasa proses peralihan daripada manual kepada e-tanah, pegawai terlibat berkomplot dengan beberapa pegawai (yang lain).
“Jadi ini adalah satu pergerakan yang tersusun secara sindiket yang telah dapat dikenal pasti dan melibatkan pejabat peguam dan sebagainya.
"Jadi saya percaya ia bukan kesalahan seorang dua, tetapi ia adalah satu pasukan rangkaian yang dipecahkan,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, sehingga siasatan selesai, kesemua tujuh penjawat awam yang merupakan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, telah dipindahkan ke jabatan lain.
Amirudin berkata, beliau difahamkan siasatan sudah memasuki fasa akhir, dan kerajaan akan menunggu hasil dapatan sebelum memutuskan tindakan tatatertib seterusnya, termasuk penggantungan kerja.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi Pemeriksaan Pematuhan Skim Harga Maksimum dan Jualan Rahmah Tahun Baharu Cina Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor di Pasaraya NSK Kota Damansara, pada Ahad.
Pada 23 Januari lepas, media melaporkan seramai 17 individu termasuk tujuh penjawat awam yang merupakan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang di Selangor ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah melibatkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihak Kerajaan Negeri akan memperkemas prosedur operasi standard dan memperkukuh kawalan terhadap data.
“Kawalannya daripada segi pencerobohan dan daripada penggunaan secara silap atau secara khianat oleh pegawai-pegawai juga harus dipantau oleh ketua Pejabat Tanah Daerah dan juga Pejabat Tanah dan Galian kita… jadi SOP dan protokolnya harus diperkemas untuk mengelak ia berulang.
“Saya minta agar pegawai tersebut tidak berada dalam jabatan terbabit untuk disiasat, kalau kita tengok tindakan selanjutnya saya akan rujuk nanti kalau kita perlu dapat nasihat penggantungan dan sebagainya sementara siasatan kita akan laksanakan,” tegasnya lagi.
#Amirudin Shari #sindiket #pindah milik tanah secara tidak sah #PDT Klang
;