Ada mangsa banjir degil, enggan berpindah - Bomba
Bernama
November 22, 2019 04:51 MYT
November 22, 2019 04:51 MYT
Degil dan enggan mendengar nasihat.
Itu antara sikap segelintir penduduk kampung yang terpaksa dihadapi anggota bomba ketika melakukan operasi pemindahan mangsa banjir di sekitar Kampung Padang Kubu, di sini sejak petang Jumaat.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata setakat 9 malam Jumaat, kira-kira 20 keluarga di kampung tersebut, berjaya dipindahkan ke Balai Raya Padang Kubu, namun sepasang suami isteri yang mempunyai seorang bayi masih berdegil.
"Walaupun beberapa kali dipujuk pihak bomba, pasangan berusia dalam lingkungan 30an itu masih tidak mahu berpindah, kerana tidak selesa berada di pusat pemindahan dan mereka mahu tinggal di tingkat atas rumahnya (rumah dua tingkat).
"Tetapi kita risaukan keadaan keselamatan mereka sekeluarga, kerana paras air kini semakin meningkat sejak pukul 4.30 petang dan keadaan hujan yang masih berterusan sejak awal pagi tadi lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Azman berkata pihaknya tidak akan berputus asa (memujuk) meskipun pasangan itu enggan bekerjasama dan akan mengambil tindakan lebih tegas jika air yang kini berada pada paras pinggang terus meningkat.
Katanya ketika operasi pemindahan itu juga, pihaknya juga terpaksa menegur tindakan sesetengah penduduk yang menangkap ikan di kawasan sungai walaupun keadaan ketika itu hujan lebat dan paras air sungai meningkat.
"Sehingga malam ini kita masih memantau keadaan semasa dan bomba juga telah berbincang dengan polis bantuan Tenaga Nasional Berhad di kampung berkenaan untuk memotong bekalan letrik sekiranya dalam keadaan merbahaya.
"Tindakan ini kita ambil kerana risau berlakunya renjatan elektrik akibat limpahan air banjir sehingga boleh membahayakan keselamatan orang ramai. Difahamkan Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Kubu turut dinaiki air di bahagian tingkat bawah," katanya.
Azman berkata keadaan terkini di Kampung Air Putih dan Kampung Teladas turut mengalami kenaikan paras air akibat limpahan dari sungai-sungai utama di beberapa kawasan namun tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.
-- BERNAMA
#anggota bomba
#Azman Alias
#Balai Raya Padang Kubu
#banjir
#Kampung Padang Kubu
#Tenaga Nasional Berhad