Ada lagi aset Sajat untuk dilelong - Peguam

Astro Awani
Disember 26, 2021 12:17 MYT
Tindakan akan diteruskan bagi menbyelesaikan tunggakan terhadap OWA Resources, iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle Sajat. - Foto Instagram/@nursajat02
KUALA LUMPUR: Ada beberapa aset lain milik usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, bagi menyelesaikan baki pampasan yang tertunggak, kata peguam OWA Resources Sdn Bhd, Nurul Hafidzah Hassan.
Memetik laporan Harian Metro hari ini, peguam dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors itu berkata, aset terbabit mungkin akan dilelong, seperti barangan di kediaman usahawan itu di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Katanya lagi, tindakan lain akan diteruskan pihaknya yang mewakili OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Nur Sajat.
"Kita mungkin akan teruskan tindakan lain tapi perlu tahu aset apa dia ada baru boleh teruskan. Namun setakat ini tiada maklumat atau arahan lanjut (berkenaan tindakan seterusnya)," katanya ketika dihubungi akhbar berkenaan.
Pada 14 Disember lepas, media melaporkan Hampir 40 barangan perabot serta perkakas rumah milik Nur Sajat di Jalan Polo Kota Damansara di sini, telah melalui proses lelongan.
Antara barangan usahawan kosmetik terkenal itu yang dilelong ialah set sofa, set meja makan, set bilik tidur, penghawa dingin, dapur, mesin basuh dan grand piano.
BACA: Lelongan perkakas kediaman Nur Sajat cecah harga RM132,000
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hujung November lalu mengarahkan harta milik usahawan kosmetik yang diburu itu disita.
Tindakan itu bertujuan bagi menuntut pampasan berjumlah RM200,000 yang gagal dibayar Nur Sajat kepada bekas stokisnya, Nurwati Hussin dan Mohamed Syakir Hussin dari Owa Resources.
BACA: Mahkamah arah aset Sajat disita, dilelong
Bagaimanapun, kontroversi timbul selepas proses lelongan kali pertama itu apabila seorang individu yang membuat bidaan tertinggi iaitu RM132,000, tidak munculkan diri dalam masa yang ditetapkan untuk membuat bayaran tersebut.
Susulan itu, Nurul Hafidzah berkata, proses lelongan akan dilakukan sekali lagi.
#Nur Sajat #guaman #lelong #OWA Resources
;