Ada keperluan mendesak kerjasama hasilkan vaksin - PM
Faris Danial Razi
April 8, 2021 21:25 MYT
April 8, 2021 21:25 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) bahawa terdapat keperluan mendesak untuk bekerjasama mempercepatkan penghasilan vaksin.
Beliau yang mengetuai Delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ke-10 yang diadakan secara maya pada Khamis turut memberikan penekanan bahawa negara-negara itu perlu memulihkan semula sektor ekonomi terjejas.
“Sudah melebihi satu tahun, sejak COVID-19 dikategorikan sebagai wabak pandemik. Dan sejak daripada itu, ramai orang telah kehilangan nyawa.
“Kehidupan seharian dan sektor perniagaan nyata terjejas dan ekonomi menjadi terencat. Walaupun program pelancaran vaksinasi sedang berjalan di beberapa negara. Masih ada yang menunggu ketibaan vaksin.
“Jadi, terdapat keperluan yang mendesak untuk kita bekerjasama dalam mempercepatkan penghasilan dan pengeluaran vaksin, demi menjamin akses yang adil, iaitu vaksin untuk semua,” jelas Muhyiddin.
Dengan populasi belia yang dinamik berjumlah 550 juta, Muhyiddin turut yakin bahawa Negara Anggota D-8 dapat menjana semula ekonominya dengan memberi kuasa belia dengan kemahiran digital dan memanfaatkan perniagaan digital dan keusahawanan.
Terdahulu, Sidang Kemuncak itu daidakan secara maya dengan membawa tema “Partnership for a Transformative World: Harnessing the Power of Youth and Technology”.
Ia bertepatan dengan agenda D-8 untuk mengkaji semula inisiatif sedia ada dan pada masa sama meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan belia dan teknologi digital, dalam menangani cabaran ekonomi global, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
#Muhyiddin Yassin
#ekonomi
#Belia
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#vaksin
#Kumpulan Lapan Negara Membangun D-8