Ada kemungkinan empat lagi kru masih berada di dalam kapal karam - APMM
Nur Fazlizai Ali
Julai 25, 2023 15:22 MYT
Julai 25, 2023 15:22 MYT
KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menolak kemungkinan empat lagi kru kapal MV Tung Sung yang terbalik di perairan Sebuyau, Sarawak masih berada di dalam kapal berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Hamid Mohd Amin berkata susulan itu gerakan mencari mangsa di dalam struktur kapal berkenaan akan dilaksanakan.
Jelasnya ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan kesemua mangsa masih giat dilaksanakan.
“Salah satu daripada kajian kita dipercayai mereka mungkin berapa di dalam kapal itu. Saya dimaklumkan esok pihak ejen kapal itu akan mula operasi untuk mengeluarkan atau pun membuka kapal itu kerana kapal itu sudah terbalik.
"Jadi ada empat orang lagi yang kita belum jumpa. Operasi SAR ini masih diteruskan dengan aset-aset lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Operasi Mardof di pejabat Maritim Negeri Terengganu pada Selasa.
Jelasnya lagi, pencarian mangsa juga turut dilakukan termasuk di laut dan udara.
Terdahulu, kapal MV Tung Sung yang belayar dari Kuching ke Sarikei bersama lapan kru dipercayai terbalik dibadai ombak besar dan angin kencang kira-kira jam 11 malam pada Rabu lalu.
Pada sabtu empat mayat ditemukan dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 15 batu nautika ke timur laut dari Pulau Burung.