Ada kecederaan pada empat pelajar tahfiz, dipercayai melarikan diri - Polis

Afiezy Azaman
Oktober 12, 2024 11:55 MYT
Rusdi bercakap kepada media pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat PDRM 2024 di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan empat pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat yang hilang sebelum ditemui semula pada Jumaat, mempunyai kesan kecederaan pada badan mereka.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, perkara itu adalah hasil daripada pemeriksaan awal yang dilakukan ke atas empat kanak-kanak tersebut.
"Apabila kita lihat, tempoh kecederaan itu berlaku semasa mereka berada di pusat tahfiz berkenaan, namun perkara ini masih dalam siasatan.
"Kita kena ingat, mereka ini kanak-kanak, dan keterangan mereka mesti disokong keterangan yang kukuh, untuk membolehkan pihak polis mengambil tindakan seterusnya," katanya kepada media pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Sehubungan itu, Rusdi berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 14 (b) berkaitan kesalahan-kesalahan seksual.
"Dakwaan penderaan dan buli itu ada, kerana terdapat kesan lebam seperti kena buli, dan mereka memang melarikan diri kerana mendakwa tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz itu.
"Bagaimanapun, pihak polis akan menyiasat perkara ini dan merakamkan percakapan beberapa individu di pusat tahfiz tersebut," ujarnya.
Pada Jumaat, media melaporkan empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemui semula oleh orang awam di Bangi.
Sejurus ditemui, semua pelajar itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan.
#Pelajar Tahfiz hilang #cedera #buli #Polis Kuala Lumpur #terkini
;