'Ada kawalan daripada pihak berkuasa, saya rasa selamat' - Pengunjung
Hilal Azmi
Januari 20, 2016 18:10 MYT
Januari 20, 2016 18:10 MYT
Rondaan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperluaskan ke kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong bagi memberi keyakinan terhadap tahap keselamatan negara.
Selain rondaan, beberapa anggota polis juga ditempatkan di lokasi berkenaan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati rondaan keselamatan oleh anggota PDRM daripada pelbagai unit termasuk Unit Anjing Pengesan K9 ditempatkan di beberapa lokasi strategik di tengah-tengah pusat komersial ibu negara.
Bagi pengunjung di kawasan berdekatan, mereka menganggap kehadiran pihak berkuasa menambah keyakinan mereka tentang tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Seorang pengunjung dari Sabah, Nazirah Mohd Rosli memberitahu, kehadiran pihak berkuasa di kawasan seperti di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur sedikit sebanyak menimbulkan persoalan untuknya.
"Mula-mula keluar tu ada anjing, memang takutlah. Namun, dengan adanya kawalan dari pihak berkuasa kita rasa lebih selamat," katanya.
Bagi pekerja swasta Rabi'ah Mustaffa, kehadiran anggota polis turut menambah keyakinannya untuk berada di kawasan segitiga emas memandangkan kawasan ini sememangnya menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.
Sementara itu, bagi seorang lagi pekerja swasta Syafiq Ridzwan, 27, kebimbangannya dengan kejadian di Jakarta, Indonesia baru-baru ini mengundang kerisauan.
"Memang saya bimbang dengan kejadian di Jakarta. Takut-takut kejadian sebegitu merebak ke negara kita.
"Saya rasa lebih selamat apabila nampak lebih ramai anggota PDRM ditugaskan di kawasan ini sebab kita tau, di sini ramai pelancong dari dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pesiaran KLCC.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan kawalan keselamatan di kawasan awam dan tumpuan pelancong akan dipertingkatkan dengan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).