Ada dos penggalak baru lengkap vaksinasi? Ikuti penjelasan KJ, Dr Kalai di Agenda AWANI malam ini
Firdaus Azil
November 28, 2021 18:23 MYT
November 28, 2021 18:23 MYT
KUALA LUMPUR: Mungkin selepas selesai menerima dos penggalak, barulah status seseorang itu diletakkan di bawah kategori lengkap vaksinasi.
Itu antara pandangan yang diutarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, selepas mengambil kira peningkatan risiko COVID-19 ekoran kemunculan varian baharu Omicron, penurunan efikasi vaksin dalam badan penerima, serta rakyat yang mula leka dan alpa.
Namun, Ahli Parlimen Rembau itu berpandangan, masih terlalu awal untuk berbuat demikian dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneliti terlebih dahulu perkembangan di negara-negara yang terlebih dahulu menguatkuasakan penerimaan dos penggalak.
"Soalan dia, sama ada kita akan buat keputusan, kalau tidak ambil dos penggalak kira tak lengkap? Kita sedang kaji pengalaman di negara lain... ada negara yang buat keputusan bahawa dos penggalak ini diperlukan untuk seseorang dikategorikan sebagai penerima dos lengkap atau penerima vaksinasi lengkap.
"Kalau kita dapati kes meningkat dan kemasukan ke hospital meningkat, disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan vaksinasi lengkap itu penerima series primer dan dos penggalak, maka kita akan membuat keputusan yang sama. Tapi belum lagi,” katanya lagi.
Khairy berkata demikian sewaktu ditemubual Editor Astro AWANI, Ehsan Yahya, dalam Agenda AWANI – Dos Penggalak sebagai Perisai – yang akan disiarkan di saluran 501 Awani, 8.30 malam ini.
Turut menjadi tetamu rancangan ialah Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, NIH KKM, Dr Kalairasu M Peariasamy, yang akan memperincikan keperluan dos penggalak dari sudut sains dan data.
Dalam pada itu, Khairy turut berkongsi kerisauan beliau terhadap tahap kealpaan masyarakat yang beliau takrifkan sebagai “mangsa kepada kejayaan sendiri”.
Kata Khairy, biarpun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Malaysia telah diiktiraf antara yang terpantas di dunia dalam menyediakan perlindungan kepada rakyatnya, namun perkara itu menyebabkan sikap berjaga-jaga itu semakin pudar.
"Kalau masih ingat, pada bulan Jun, Julai dan Ogos, sewaktu kemuncak, semua takut dengan varian Delta, takut dengan angka semakin meningkat. Semua minta vaksin. Tapi sekarang mungkin kita jadi mangsa kepada kejayaan kita sendiri.
“Oleh kerana kita sudah berjaya menurunkan kes, ramai dah mula alpa, mereka kata tak payah lah. sebab Kes dah turun, kita dengar hospital tak sesak seperti dulu, tapi saya tegaskan jangan ambil mudah perkara ini," tegasnya lagi.
Saksikan temu bual penuh bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, NIH KKM, Dr Kalairasu M Peariasamy di Agenda AWANI, 8.30 malam ini di saluran 501 dan www.astroawani.com.