Ada cubaan batalkan kelayakan Najib untuk ke pilihan raya - Muhammad Shafee

Ridauddin Daud
April 8, 2021 18:12 MYT
Mengulas berkenaan notis kebankrapan kepada Najib, Muhammad Shafee mendakwa tindakan itu adalah satu bentuk 'ugutan'. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Ada usaha daripada pihak tertentu yang cuba untuk membatalkan kelayakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyertai mana-mana pilihan raya kelak.
Dakwaan itu disuarakan Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai kes pecah amanah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.
"Anda boleh nampak dengan jelas. Ada ramai orang, mungkin beberapa orang yang berminat untuk batalkan kelayakan klien saya, untuk mana-mana pilihan raya, mana-mana jawatan dalam mana-mana parti.
"Sungguh jelas," katanya dalam sidang media selepas selesai hari keempat prosiding rayuan kes pecah amanah berkaitan SRC melibatkan Najib di Istana Kehakiman, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan notis kebankrapan kepada Najib, Muhammad Shafee mendakwa tindakan itu adalah satu bentuk 'ugutan'.
BACA: Najib akui terima notis bankrap LHDN, anggap ia 'menambah garam ke luka ketidakadilan'
Cukai pendapatan | LHDN fail notis kebankrapan terhadap Najib
Jelasnya, notis tersebut diterima hanya beberapa hari selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di mana UMNO mengumumkan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
"Cukup jelas, ini adalah penyalahgunaan proses, ini adalah intimidasi (ugutan) yang jelas.
"Sekiranya bukan pihak berkuasa yang melakukannya, undang-undang jenayah akan melakukannya, tetapi ia adalah intimidasi, pemerasan dan penyalahgunaan kuasa," ujarnya.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] SRC: Mahkamah dengar rayuan Najib
BACA: Kenapa masuk wang ke akaun Najib? Hanya Jho Low tahu sebabnya - Peguam
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk pengurusan kes itu.
Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.
Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.
Oleh itu, LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.
#Muhammad Shafee Abdullah #peguam bela #Najib Razak #politik #pilihan raya umum #Ahli Parlimen Pekan #kes pecah amanah #SRC International #LHDN
;